Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

'HILDA SYSTEM' PROJEK INOVASI PENSYARAH USM MENANG ANUGERAH INOVASI TEKNOLOGI PERTANIAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 Oktober 2020 – Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi tempat pertama Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian bagi ciptaan mesin dehidrasi madu ‘HILDA System’ sekaligus membawa pulang plak penghargaan dan wang tunai RM2,000.

Kemenangan tersebut membuktikan projek inovasi milik Dr. Zulkifli Mustafa berupaya menjadi sistem pengurusan dan penyahhidratan air dari madu bagi menghasilkan madu yang berkualiti.

HILDA SYSTEM 1

Menurut Zulkifli, projek inovasinya itu dapat memanjangkan jangka hayat produk (madu), menyeragamkan kandungan air dalam madu selain membuka ruang pemasaran yang lebih besar.

“Penggunaan ‘HILDA System’ juga akan memberi impak langsung kepada komuniti penternak kelulut kerana madu yang berkualiti membolehkan kajian lanjut dibuat di peringkat klinikal.

HILDA SYSTEM 2

“Madu adalah pemakanan tambahan (supplemen) bagi kebanyakan orang, tetapi tidak bagi saya kerana madu adalah anugerah Allah yang tidak wajar dijual di lantai kaki lima pasar malam atau di tepi jalan,” ujarnya.

Tambah Zulkifli, misi utama beliau adalah untuk menjadikan madu sebagai ‘golden remedy’ yang boleh menjadi komoditi baharu negara.

HILDA SYSTEM 3

“Pada peringkat permulaan, saya memperkenalkan model KELULUNOMIC iaitu satu model inovasi untuk peningkatan kualiti madu dan modul perniagaan yang akan meningkatkan pendapatan penternak seterusnya membentuk kecintaaan pada lebah.

“Langkah ini telah menginspirasikan kepada konservasi lebah untuk polinasi tanaman dan pokok bagi kelestarian biodiversiti dan ekologi, meningkatkan sosio-ekonomi komuniti serta penghasilan madu berkualiti bagi kegunaan masyarakat dan penyelidikan,” jelasnya lagi.

HILDA SYSTEM 4

Zulkifli berkata, melalui program KELULUNOMIC, satu projek ‘Reinventing Honey Quality (RHQ)’ telah dijalankan bagi meningkatkan kemahiran lebih 3,000 penternak lebah di seluruh negara selain turut berkembang ke Indonesia dan Thailand.

“Melalui projek RHQ ini, saya telah menghasilkan inovasi-inovasi berpaten bagi rumah lebah dan mesin dehidrasi madu yang dikenali sebagai MUSTAFA-Hive dan HILDA-System yang telah memenangi beberapa anugerah inovasi kebangsaan.

HILDA SYSTEM 5

“Saya juga turut menghasilkan inovasi buku modul penternakan kelulut berpiawaian menggunakan ‘augmented reality’, ‘KEIFh Device’, ‘HOPE’ dan ‘17 Episode Massive Open Online Course’ untuk memudahkan penyampaian ilmu secara atas talian (online),” ulas beliau lanjut.

Majlis penyampaian Anugerah Inovasi Teknologi Pertanian diadakan sempena Sambutan Hari Inovasi 2020, Jabatan Pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan telah berlangsung di MAFI Putrajaya pada 30 September lalu.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Dr. Zulkifli Mustafa

  • Created on .
  • Hits: 237