USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Oktober 2021 - Pelaksanaan perkhidmatan ujian ‘Arterial Blood Gas’ (ABG) secara ‘Cost Per Reportable’ (CPR) dipercayai dapat memberi penjimatan dan mengurangkan kos pelaksanaannya dalam usaha menambahbaik perkhidmatan perawatan pesakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Timbalan Pengarah Insfrastruktur dan Aset Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman, perkhidmatan ujian ABG adalah perkhidmatan penting yang digunakan dalam perawatan pesakit akut.
“Sebelum ini, perkhidmatan ujian ABG di Hospital USM dilakukan secara berasingan (in-silo) mengikut jabatan masing-masing bersama-sama perolehan kit reagen dan bahan pakai habis yang diuruskan oleh Jabatan Farmasi.
“Hal ini menimbulkan masalah dari segi perolehan dengan peningkatan kos. Melalui kaedah CPR ini, ujian ABG akan dijalankan secara berpusat di wad atau lokasi yang telah ditetapkan dan saya percaya melalui cara ini ia dapat memantapkan lagi penjagaan dan pengurusan aset peralatan tersebut.
“Ujian ABG melalui kaedah CPR ini juga memudahkan pemantauan dibuat secara berkala selain turut memudahkan penyelenggaraan dibuat apabila berlaku kerosakan,” ujarnya.
Tambah Nik Hisamuddin, ujian ABG secara CPR juga mengetengahkan konsep ‘satu untuk semua’ yang mana petugas kesihatan Hospital USM boleh menjalankan ujian ABG di mana-mana lokasi atau wad yang mempunyai mesin tersebut.
“Saya percaya kaedah ini memberi kemudahan kepada semua pihak dalam memastikan perawatan ke atas pesakit berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan, Jabatan Patologi Kimia Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Julia Omar pula berkata, 14 unit mesin ABG (model ABL 90 Plus) diperoleh secara tender berpusat selama tiga tahun daripada Syarikat Science Care Sdn Bhd untuk memantap dan memperkasakan perkhidmatan ujian ABG di Hospital USM.
“Bagi memastikan perkhidmatan ujian ABG ini berjalan lancar, Jabatan Patologi Kimia telah melantik Dr. Noorazliyana Shafii yang merupakan Pakar Patologi Kimia sebagai penyelaras ‘Point of Care Testing’ (POCT) di samping 14 orang kakitangan diberi tanggungjawab untuk menjaga mesin-mesin ABG ini.
“Saya juga berharap perkhidmatan ujian ABG Hospital USM dapat dilaksanakan dengan baik dalam usaha memberi perkhidmatan yang terbaik terhadap pesakit,” jelasnya.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman