HOSPITAL USM RAI STAF CEMERLANG
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Oktober 2020 - Seramai 169 orang warga staf Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pejabat Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM diraikan sempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Khidmat Sanjungan Budi (AKSB) hari ini.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim hadir menyampaikan anugerah berkenaan pada majlis yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan.
Berucap dalam majlis tersebut, Ahmad Sukari berkata, USM tetap menghargai warganya yang selama ini bertungkus lumus dan sentiasa komited dalam memberi perkhidmatan terbaik.
“Walaupun terdapat sedikit kekurangan, USM tidak sesekali lupa untuk menghargai warganya dan majlis ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada semua atas prestasi kerja cemerlang yang telah dicurahkan.
“Saya berharap semoga pengiktirafan ini akan menjadi pendorong dan pemangkin kepada seluruh warga USM untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, lestari serta menjulang nama universiti di peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Sukari turut berpesan kepada warga staf supaya bersyukur dengan rezeki yang diterima kerana mereka tidak terkesan akibat pandemik COVID-19, malah masih menerima gaji dan elaun setiap bulan sedangkan ramai di luar sana yang terkesan sehingga ada yang diberhentikan kerja dan putus mata pencarian.
Majlis berlangsung dalam suasana yang ringkas tetapi meriah di samping mematuhi segala ‘Standard Operation Prosedure’ (SOP) yang telah ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal bertujuan untuk memastikan tiada penularan wabak COVID-19.
Sukari berkata, seiring dengan usia Hospital USM yang kini mencapai 37 tahun sejak penubuhannya pada 1983, warga staf diminta terus mengekalkan prestasi terbaik dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur & Aset) Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Nik Hisamuddin Nik Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Operasi) Hospital USM, Profesor Dr Mohd Imran Yusof dan Timbalan Pengarah (Klinikal), Dr Nik Min Ahmad.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 167