USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2021 - Di saat seluruh Malaysia menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-64 tepat detik 12.00 malam, kakitangan di Bilik Bersalin Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sibuk menyambut kelahiran bayi Merdeka.
Bermula jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam, 24 kelahiran bayi ‘Merdeka’ bukan sahaja mengembirakan ibu bapa bayi malah kakitangan Hospital USM juga turut sama merasai emosi bahagia tersebut.
Daripada jumlah itu, 13 adalah bayi lelaki dan 11 bayi perempuan yang dilahirkan secara normal dan pembedahan. Bayi pertama dilahirkan pada jam 12.57 pagi dan bayi merdeka terakhir lahir pada jam 10.49 malam.
Salah seorang ibu bayi merdeka yang ditemui, Norsafarin Shamsudden, 37, berkata, beliau dan suami sangat bertuah kerana cahaya mata keempat mereka dilahirkan pada Hari Kebangsaan iaitu sama tarikh seperti jangkaan yang diberikan doktor.
“Saya dimasukkan ke wad pada petang 30 Ogos dan mula merasai tanda-tanda bersalin yang lebih kerap bermula jam 1.30 pagi sebelum dihantar ke bilik bersalin kira-kira jam 3 pagi serta selamat melahirkan puteri keempat seberat 3.51 kilogram (kg) pada pukul 4.02 pagi.
“Syukur semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT dan kelahiran bayi merdeka ini bukan sahaja memberikan rahmat bagi saya dan suami malah ia merupakan satu perasaan yang sukar digambarkan dan tidak dapat diungkapkan,” ujarnya yang merupakan seorang Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor, di sini.
Kegembiraan itu turut dikongsi pasangan suami isteri, Salah Naqiah Mat Rani@ Ghani, 31, dan Mohd Nasrul Hafiz Mohd Nordin, 31, apabila menerima kehadiran cahaya mata ketiga yang juga lahir sebagai anak Merdeka.
“Saya serta suami teruja dan gembira apabila hero ketiga kami seberat 4.0 kg ini dilahirkan pada tarikh sambutan kemerdekaan negara yang mana perkara ini tidak pernah kami jangka sebelum ini.
“Mengikut tarikh jangkaan, saya sepatutnya melahirkan anak ini pada 2 September, namun perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya apabila dia dilahirkan pada 4.23 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim turun padang menyantuni bayi merdeka yang lahir di Hospital USM.
Sukari turut merakamkan penghargaan kepada Co-op Bank Pertama Cawangan Kota Bharu, Bank Simpanan Nasional Cawangan Kubang Kerian dan Koperasi Warga USM Kelantan Berhad yang berbesar hati menghulurkan sumbangan kepada bayi merdeka.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman