Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HOSPITAL USM TAWAR RAWATAN REHABILITASI ROBOTIK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2020 - Sejak memulakan operasi pada 8 September yang lalu, Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima seramai 14 hingga 18 orang pesakit.

HOSPITAL USM TAWAR RAWATAN REHABILITASI ROBOTIK

Menurut Penyelaras Unit Pembangunan Korporat Hospital USM, Profesor Dato' Dr Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, sebelum menjalani rawatan, penilaian ke atas pesakit akan dilakukan oleh pakar rehabilitasi bagi menentukan keseriusan kecederaan dan tahap rawatan yang bersesuaian.

"Sepanjang tempoh rawatan, pesakit akan dipantau oleh fisioterapi rehab yang terlatih bagi memastikan pesakit dapat menjalani rawatan mengikut jadual serta setiap sesi yang dijalankan akan direkodkan bagi melihat perkembangan rawatan yang dijalani.

"Contohnya, salah seorang pesakit yang telah menjalani rawatan menggunakan 'lower limb' kini mampu menjalani latihan selama satu jam berbanding 30 minit pada peringkat permulaan rawatan dan ini merupakan perubahan yang sangat positif," ujar beliau.

HOSPITAL USM TAWAR RAWATAN REHABILITASI ROBOTIK 2

Sementara itu, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato' Dr Ahmad Sukari pula berkata, memandangkan perkhidmatan ini adalah kerjasama dengan PERKESO dan Cyberdyne Tsukuba, buat masa ini, rawatan difokuskan kepada pencarum PERKESO.

"Kalau dulu pesakit perlu ke Melaka untuk dapatkan rawatan, tapi sekarang pesakit-pesakit di pantai timur khususnya negeri Kelantan boleh menjalani rawatan di sini, lebih dekat dan cepat.

"Hospital USM sangat berbesar hati menjadi rakan kolaborasi PERKESO dalam mengembangkan rawatan sebegini kerana ianya mempercepatkan rehabilitasi pesakit dan membuka peluang kepada mereka untuk kembali bekerja", ujarnya yang ditemui semasa Majlis Perasmian Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Hospital USM.

Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

Terdapat tiga jenis rawatan yang ditawarkan melalui rehabilitasi robotik ini iaitu 'lower limb' rawatan memfokuskan kepada pergerakan kaki, 'lumbar' rawatan untuk kekuatan pinggang fan belakang serta 'single joint' bagi mengembalikan kemampuan menggerakkan tangan pesakit.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 207