Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM DAN PPSP PERKUKUH KESEDARAN RISIKO PENYAKIT BERJANGKIT DI TEMPAT KERJA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Ogos 2025 – ‘Staf sihat, pesakit selamat’, itulah mesej utama yang diketengahkan melalui Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Penyakit Berjangkit di Tempat Kerja 2025 anjuran Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, bagi memperkukuh kesedaran warga kerja terhadap risiko penyakit berjangkit di hospital.

1000171788

Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, dalam ucapannya menekankan kepentingan pengetahuan, kesedaran dan pengurusan risiko jangkitan khususnya dalam persekitaran hospital yang berisiko tinggi, sama ada melalui udara, sentuhan mahupun tusukan.

Beliau turut menegaskan bahawa seminar ini diadakan sejajar dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan tanggungjawab majikan serta pekerja dalam menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja.

1000171784

“Perlindungan pekerja bukan sahaja mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan, malah turut membantu menjimatkan kos rawatan serta meningkatkan produktiviti organisasi.

“Ini merupakan kali ketiga HPUSM dan PPSP berganding bahu menganjurkan seminar seumpama ini yang menjadi medium penting untuk perkongsian ilmu dan pengalaman dalam kalangan pakar serta warga kesihatan,” katanya ketika berucap merasmikan seminar tersebut di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.

1000171794

Seminar berkenaan turut menampilkan sesi pembentangan dan perbincangan ilmiah yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan amalan terbaik dalam pengurusan risiko penyakit berjangkit di tempat kerja, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara jabatan.

1000171790

Dalam pada itu, Ab Rahman Izaini turut menekankan isu kebajikan staf dengan memaklumkan perancangan HPUSM untuk memperkenalkan inisiatif pemeriksaan kesihatan komprehensif bagi staf berusia 50 tahun ke atas.

1000171786

“Staf yang melakukan pemeriksaan kesihatan akan menerima kupon diskaun 50 peratus (%) untuk menikmati makan tengah hari di restoran terpilih sebagai tanda penghargaan.

1000171792

“Saya berharap agar inisiatif ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana ia bukan sekadar meraikan staf senior, tetapi juga platform meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Senior perlu membimbing warga baharu melalui pengalaman mereka, manakala staf muda pula perlu mengambil berat sejak awal kerjaya lagi,” ujarnya.

1000171782

Beliau menegaskan bahawa staf merupakan aset terpenting organisasi yang kebajikannya perlu sentiasa diberi perhatian.

“Justeru, semua warga kerja diseru agar terus komited dalam memastikan persekitaran kerja yang sihat dan selamat,” tambahnya lagi.

1000171795

Turut hadir ialah Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Dekan Libatsama Industri-Komuniti dan Pembangunan PPSP USM, Profesor Dr. Aziah Daud serta Pengerusi Bersama Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Penyakit Berjangkit di Tempat Kerja 2025, Dr. Ahmad Filza Ismail dan Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 283