Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM FOKUS RAWATAN SELAMAT BAYI DAN KANAK-KANAK

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2025 – “Safe Care for Every Newborn and Every Child” menjadi fokus utama Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dalam Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025, sebagai komitmen berterusan bagi memastikan setiap bayi dan kanak-kanak menerima rawatan selamat sejak awal kehidupan.

1000182498

Tema pediatrik diangkat tahun ini kerana keselamatan pesakit dalam kalangan bayi dan kanak-kanak merupakan keutamaan, melalui pemantapan standard protokol, sistem keselamatan hospital serta komitmen tinggi staf barisan hadapan.

1000182506

Pengarah HPUSM, Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini @ Ab Ghani, berkata, aspek keselamatan bayi diberi tumpuan khusus kali ini bagi memastikan penjagaan optimum serta mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

1000182502

“Selain itu, pelbagai penambahbaikan dalam perkhidmatan pediatrik turut diperkasakan selaras dengan usaha meningkatkan kualiti rawatan dan perlindungan pesakit.

1000182504

"Komitmen padu warga HPUSM menjadi kebanggaan apabila keselamatan pesakit, khususnya kanak-kanak, terus dijadikan budaya kerja hospital,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2025 Peringkat HPUSM, pada 24 September lalu.

1000182508

Menurut beliau, keselamatan pesakit perlu sentiasa diutamakan dengan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, meneliti kelemahan serta memastikan pesakit dilayan penuh prihatin seolah-olah ahli keluarga sendiri.

1000182510

Antara amalan yang diperkukuh termasuk pengukuhan standard klinikal, latihan staf, pengurusan ubat yang selamat, komunikasi efektif, penglibatan keluarga dan penggunaan dua (2) pengenalan pesakit sebelum prosedur dan pelaksanaan 'Safe Surgery Safe Lives Checklist'.

1000182500

1000182514

Pelbagai pengisian diisi sepanjang sambutan Hari Keselamatan Pesakit tahun ini antaranya ceramah ‘Penjagaan yang Selamat untuk Bayi dan Kanak-Kanak: Membina Budaya Keselamatan Sejak Awal’ oleh Pakar Perunding Pediatrik, Profesor Madya Dr. Noraida Ramli dan forum bertajuk ‘Bersuara Demi Keselamatan: Peranan Ibu Bapa, Staf dan Sistem dalam Melindungi Anak-Anak’ yang menekankan kerjasama semua pihak dalam memperkukuh budaya keselamatan pesakit.

1000182512

Sejak tahun 2019, HPUSM menyambut Hari Keselamatan Pesakit Sedunia selaras inisiatif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan rawatan yang selamat, berkesan, tepat pada masanya, cekap dan adil untuk semua pesakit.

1000182516

Turut hadir dalam majlis ini ialah, Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria dan Pakar Perunding Pediatrik HPUSM, Profesor Madya Dr. Mohamad Ikram Ilias.

Teks: Rosalwani Che Soh /Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

 

  • Created on .
  • Hits: 172