HPUSM FOKUS WUJUDKAN SISTEM SOKONGAN MAMPAN LINDUNGI PENYUSUAN SUSU IBU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2025 – Lindungi Penyusuan Susu Ibu: Wujudkan Sistem Sokongan Mampan atau ‘Protect Breastfeeding: Create a Sustainable Support System’ menjadi tema utama Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2025 peringkat Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) yang melabuhkan tirainya hari ini.

Tema berkenaan selari dengan matlamat ‘World Breastfeeding Week - Sustainable Development Goals’ (WBW-SDG 2030) yang memberi penekanan terhadap kesinambungan amalan penyusuan susu ibu sebagai sebahagian daripada tindakan lestari alam sekitar dan kesejahteraan kesihatan global.

Majlis penutupan minggu penyusuan ini telah disempurnakan oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani di Klinik Obstetrik dan Ginekologi HPUSM.

Menurut beliau, sambutan tahunan ini merupakan inisiatif penting dalam mempromosikan dan menyokong amalan penyusuan susu ibu, khususnya kepada kumpulan sasaran seperti ibu selepas bersalin serta penjaga utama bayi.

“Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang sambutan ini termasuk pemberian cenderamata kepada ibu selepas bersalin sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada mereka.

“Penyusuan susu ibu bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan bayi dan ibu, malah turut menyumbang kepada penjagaan alam sekitar melalui pengurangan penggunaan botol plastik dan bahan buatan,” katanya.
Ab Rahman Izaini turut memaklumkan bahawa kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam (6) bulan pada tahun 2023 adalah sebanyak 48 peratus (%), hampir mencapai sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Namun begitu, bagi mencapai sasaran 70% menjelang tahun 2030, semua pihak perlu terus berganding bahu dalam menyediakan persekitaran kerja dan komuniti yang menyokong ibu menyusu.
“Sambutan minggu penyusuan susu ibu ini juga menekankan kepentingan pelaksanaan konsep 'Warm Chain', iaitu rangkaian sokongan mesra penyusuan yang melibatkan pelbagai sektor dan peringkat daripada penjagaan kesihatan hingga ke komuniti dan tempat kerja.

“Kita sedar bahawa penyusuan ibu boleh menjadi satu cabaran besar, terutama sekiranya ibu-ibu tidak mendapat sokongan yang kukuh dan berterusan daripada persekitaran mereka. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama meningkatkan kefahaman dan galakan yang sewajarnya agar setiap pihak dapat memainkan peranan secara aktif dan berkesan,” ujarnya lagi.

Tambah Ab Rahman Izaini, usaha ini penting untuk mewujudkan persekitaran yang penyayang, inklusif dan mampan bagi menyokong amalan penyusuan susu ibu selaras dengan keperluan dan cabaran dunia masa kini.

Sementara itu, seorang ibu hamil tujuh (7) bulan yang ditemui, Siti Norhidayah Abdul Rahim, 29, meluahkan rasa teruja apabila diraikan dalam sambutan kali ini.
“Saya berasa sangat beruntung kerana pernah melahirkan anak di HPUSM sebelum ini di mana ia merupakan sebuah hospital yang menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“InsyaAllah, saya bakal melahirkan anak keempat pada Oktober ini dan berhasrat untuk meneruskan penyusuan susu ibu sehingga anak berusia dua (2) tahun agar ia mendapat nutrien yang lengkap,” katanya ketika ditemu bual.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Ketua Jabatan, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Ikram Ilias dan Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 632