Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM 'GREENSCAPE' 2026 ANGKAT PENANAMAN POKOK SEBAGAI LEGASI KELESTARIAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Oktober 2026 – “Penanaman pokok ini bukan sekadar usaha menghijaukan persekitaran hospital, malah menjadi satu legasi kelestarian untuk dinikmati generasi akan datang,” demikian petikan ucapan Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani ketika merasmikan HPUSM 'Greenscape' 2026: Program Penanaman Pokok dan Penambahbaikan Landskap HPUSM di pekarangan Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen HPUSM dalam mewujudkan persekitaran hospital yang lebih hijau, selesa, kondusif dan mesra alam.

“Program ini bukan hanya sekadar menanam pokok, malah merupakan satu legasi untuk masa depan kita semua.

“Saudara dan saudari semua adalah ‘unsung heroes’ (wira tidak didendang) yang hadir untuk menanam pokok sebagai satu tanggungjawab dalam menjadikan suasana HPUSM lebih hijau, nyaman dan menyenangkan mata memandang,” katanya.

Tambah beliau, persekitaran hijau turut memainkan peranan dalam mewujudkan suasana yang lebih tenang dan positif kepada pesakit, waris, pelawat serta warga kerja hospital.

“Apabila kita melihat suasana hijau pada setiap pagi, ia dapat merangsang tubuh untuk berada dalam keadaan lebih tenang dan seterusnya memberikan suasana yang lebih positif kepada kita semua,” ujarnya lagi.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta melibatkan penyertaan lebih 40 mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh penglibatan generasi muda dalam agenda kelestarian.

Ab Rahman berkata, kesihatan manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan persekitaran, justeru aspek kelestarian perlu diberi perhatian dalam pembangunan dan pengurusan sesebuah institusi kesihatan.

“Apabila seseorang datang ke hospital, mereka mungkin hadir dalam keadaan risau, takut atau tidak selesa.

“Justeru, persekitaran hospital juga mempunyai peranan dalam mewujudkan rasa tenang dan selamat,” katanya.

Jelas beliau, pokok yang ditanam hari ini mungkin masih kecil, namun apabila membesar kelak, ia akan menjadi sebahagian daripada landskap HPUSM serta memberikan teduhan dan manfaat kepada warga hospital serta pengunjung.

“Lebih daripada itu, pokok tersebut akan menjadi simbol bahawa kita pernah melakukan sesuatu pada hari ini untuk masa hadapan,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa HPUSM 'Greenscape' 2026 tidak seharusnya dilihat sebagai program yang terhenti selepas penanaman pokok selesai, sebaliknya menjadi permulaan kepada usaha kelestarian yang dilaksanakan secara berterusan.

“Agenda kelestarian perlu diterapkan sebagai sebahagian daripada budaya kerja warga HPUSM, termasuk melalui penggunaan sumber secara berhemah, pengurusan sisa yang cekap, pengurangan pembaziran, pemeliharaan kawasan hijau serta penggunaan teknologi secara bijak.

“Hospital yang baik bukan sahaja merawat manusia yang sakit, tetapi turut menjaga persekitaran yang menyokong kehidupan manusia dan sebagai warga HPUSM, kita mempunyai peluang untuk menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ab Rahman juga berharap agar HPUSM 'Greenscape' 2026 dapat menjadi sebahagian daripada agenda kelestarian HPUSM melalui usaha yang memberi manfaat kepada warga hospital dan masyarakat, bukan sahaja pada masa kini tetapi juga untuk generasi akan datang.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail dan Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HPUSM, Mohd Saberi Mohd Yusoff.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 431