Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM - JHEAIPP JALIN HUBUNGAN STRATEGIK MELALUI INISIATIF HOSPITAL MESRA IBADAH

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 November 2025 – Lawatan penanda aras merupakan salah satu pendekatan strategik dalam usaha memperkukuh budaya kualiti, perkongsian ilmu serta amalan terbaik antara organisasi. Melalui inisiatif seperti ini, sesebuah institusi berpeluang menilai, belajar dan menyesuaikan amalan cemerlang pihak lain bagi mempertingkatkan keberkesanan sistem pengurusan dan penyampaian perkhidmatan.

1000195217

Selaras dengan matlamat tersebut, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menerima kunjungan delegasi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta hospital-hospital awam Pulau Pinang dalam sesi Lawatan Penanda Aras Hospital Mesra Ibadah (HMI) di HPUSM, hari ini.

1000195207

Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan dan perkongsian pengalaman mengenai pelaksanaan inisiatif HMI dan Hospital Patuh Syariah yang telah lama diamalkan di HPUSM, di samping membuka ruang kolaborasi antara institusi agama dan kesihatan dalam memperkukuh sistem penyampaian berteraskan nilai Islam.

1000195219

Delegasi lawatan tersebut melibatkan penyertaan daripada JHEAIPP, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Hospital Pulau Pinang, Hospital Balik Pulau, Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam, Hospital Kepala Batas dan Hospital Sungai Bakap.

1000195211

Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dalam ucapannya berkata, lawatan ini bukan sekadar kunjungan rasmi tetapi melambangkan semangat kerjasama dan perkongsian ilmu antara dua (2) institusi penting yang sama-sama berperanan menegakkan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

1000195209

"HPUSM sentiasa menitikberatkan keseimbangan antara kecemerlangan klinikal dan penerapan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan kesejahteraan jasmani, rohani dan emosi,” ujarnya.

Tambah beliau, HPUSM telah membangunkan sistem pengurusan berpaksikan nilai Islam yang merangkumi tatacara rawatan pesakit, pengurusan ubat-ubatan, pengurusan jenazah dan sisa biologi serta pengurusan ibadah bagi pesakit dan staf seiring dengan pelaksanaan standard MS1900:2014.

1000195213

“Pelaksanaan dasar dan prosedur berkaitan HMI ini digerakkan oleh Pusat Islam Kampus Kesihatan dengan kerjasama Unit Digital HPUSM dan disemak oleh Panel Penasihat Syariah HPUSM bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap prinsip syariah.

1000195215

“Pendekatan bersepadu ini membolehkan HPUSM muncul sebagai model rujukan nasional bagi HMI dan Hospital Patuh Syariah,” jelasnya lagi.

Ab Rahman Izaini turut berharap agar lawatan ini menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik yang lebih erat antara HPUSM, JHEAIPP dan hospital-hospital awam di Pulau Pinang.

1000195221

“Semoga lawatan hari ini adalah permulaan kepada kolaborasi yang lebih erat bagi memperkukuh budaya kerja berintegriti dan berasaskan nilai Islam, seterusnya membina hospital yang mesra pesakit dan berjiwa rahmah,” katanya.

1000195225

Lawatan tersebut turut diisi dengan sesi taklimat dan perkongsian pengalaman mengenai pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti Patuh Syariah (MS1900:2014) serta inisiatif HMI di HPUSM, diikuti lawatan ke Wad 1 Selatan dan Wad 7 Utara bagi meninjau pelaksanaan praktikal inisiatif HMI di peringkat unit rawatan.

1000195223

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Dakwah) mewakili Pengarah JHEAIPP, Ustazah Azmah Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Kanan (Mediko Legal) JKNPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa HMI JKNPP, Dr. Mohammad Redza Khairuddin; Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar; Timbalan Pengarah, Pusat Islam Kampus Kesihatan, Ustazah Amira Abdul Sattar @ Ismail dan Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad.

Teks: Siti Sri Mas Ismail / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 111