Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM LAKAR SEJARAH, TIGA AUDITORIUM DIMASYHURKAN SEMPENA TOKOH KEPIMPINAN TERDAHULU

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 September 2026 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) hari ini melakar sejarah apabila memasyhurkan tiga (3) auditorium hospital dengan nama tiga (3) mantan pengarah hospital yang terawal sebagai tanda penghargaan terhadap jasa, kepimpinan dan sumbangan mantan pimpinan terdahulu dalam pembangunan institusi tersebut.

Majlis Pemasyhuran Dewan HPUSM dan Tautan Kasih Mantan Pengarah HPUSM ini turut menghimpunkan mantan-mantan Pengarah, mantan Timbalan Pengarah serta barisan pengurusan terdahulu yang pernah menerajui hospital berkenaan sejak penubuhannya.

Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, pemasyhuran tersebut merupakan manifestasi penghargaan institusi terhadap individu yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) yang kini dikenali sebagai HPUSM.

“HPUSM tidak terbina dalam sekelip mata dan kini sudah berusia 43 tahun, setiap kemajuan yang kita nikmati hari ini mempunyai akar sejarahnya yang tersendiri, dan di sebalik sejarah tersebut terdapat tokoh-tokoh yang telah memimpin, merintis serta meletakkan asas yang kukuh kepada perkembangan hospital ini.

“Pemasyhuran nama ini bukan sekadar mengabadikan nama, tetapi lebih penting untuk mengabadikan kepimpinan, jasa, sumbangan dan legasi yang telah ditinggalkan oleh mereka dalam perjalanan pembangunan HPUSM,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Pada majlis itu, Auditorium Blok Pentadbiran dimasyhurkan sebagai Auditorium Dato’ Dr. Kamaruzaman Wan Su, Auditorium Perubatan Nuklear sebagai Auditorium Dr. Ramli Saad, manakala Auditorium Trauma dimasyhurkan sebagai Auditorium Dato’ Dr. Zaidun Kamari.

Menurut Ab Rahman, nama yang diabadikan pada auditorium berkenaan diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi warga HPUSM masa kini dan akan datang bahawa setiap kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil kesinambungan usaha, pengorbanan dan komitmen pemimpin terdahulu.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penganjuran julung kali program Tautan Kasih Mantan Pengarah HPUSM, yang bertujuan mengeratkan semula hubungan silaturahim antara pihak hospital dengan mantan pemimpin serta pengurusan terdahulu.

Ab Rahman berkata, kehadiran mantan-mantan pengarah, mantan timbalan pengarah dan barisan pengurusan terdahulu amat bermakna kerana mereka merupakan sebahagian daripada keluarga besar HPUSM yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan institusi tersebut.

“Pengalaman, pandangan dan sumbangan mereka merupakan khazanah yang amat bernilai.

"Pertemuan seperti ini bukan sahaja mengimbau kenangan, malah menghubungkan sejarah dan masa depan HPUSM dalam semangat kekeluargaan yang sama,” ujarnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh mantan pengarah, mantan timbalan pengarah, pegawai dan warga kerja terdahulu yang telah menyumbang kepada pembangunan HPUSM sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Dalam ucapannya, beliau turut mengenang jasa Allahyarham Dr. Ramli Saad yang disifatkan sebagai antara tokoh penting dalam sejarah awal pembangunan hospital tersebut.

“Walaupun Allahyarham telah meninggalkan kita, jasa, kepimpinan dan sumbangan beliau terus hidup dalam ingatan serta menjadi sebahagian daripada sejarah institusi ini.

"Semoga segala amal bakti Allahyarham menjadi amal jariah yang berpanjangan dan mendapat ganjaran serta rahmat daripada Allah SWT,” katanya.

Ab Rahman berharap pemasyhuran auditorium dan penganjuran Tautan Kasih Mantan Pengarah HPUSM akan menjadi simbol kesinambungan antara generasi terdahulu, generasi semasa dan generasi akan datang dalam meneruskan legasi kecemerlangan HPUSM sebagai institusi perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan yang unggul.

Hadir sama dalam majlis penuh bersejarah itu ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad, Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail; Timbalan Pengarah (Pengurusan) HPUSM, Haji Mohd Saberi Mohd Yusoff serta mantan pengarah HPUSM terdahulu yang diraikan, Profesor Dato' Dr. Kamaruzaman Wan Su, Dato' Dr. Zaidun Kamari, Profesor Dato Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Abdul Rahman.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 623