Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM LAKAR SEJARAH HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PERTAMA LANCAR JADUAL PELUPUSAN REKOD FUNGSIAN DAN PERUBATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Februari 2026 - 'Kami Memimpin' terus menjadi kalimah keramat apabila Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengukir nama dalam lakaran sejarah menjadi Hospital Pengajar Universiti (HPU) pertama melancarkan Jadual Pelupusan Rekod Fungsian (JPRF) dan Jadual Pelupusan Rekod Perubatan (JPRP).

1000226049

Hal ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia (ANM), Zaidin Mohd Noor dalam Majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPRF dan JPRP di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.

1000226041

Menurut beliau, komitmen HPUSM dalam menyiapkan JPRF dan JPRP dengan kelulusan ANM wajar dijadikan contoh dan penanda aras.

"Pencapaian ini memperlihatkan kepimpinan yang berwawasan serta keupayaan HPUSM dalam memacu tadbir urus rekod yang cekap, telus dan berimpak tinggi," katanya.

1000226051

Zaidin berkata, selaras dengan seksyen 27 Akta Arkib Negara Malaysia 2003, setiap pejabat awam wajib menyediakan JPRF sebagai mekanisma rasmi penetapan tempoh simpanan, kaedah pelupusan serta penentuan nilai rekod.

1000226053

"Dalam konteks HPUSM, pembangunan JPRF dan JPRP merupakan satu langkah strategik yang amat signifikan kerana ia bukan sekadar memperkemas pengurusan dan pelupusan rekod, malah memastikan pematuhan perundangan dalam menjaga keselamatan dan kerahsiaan rekod perubatan," ujarnya lagi.

Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara ANM dan HPUSM terus diperkukuh dan menjadi contoh amalan terbaik dalam pengurusan rekod sektor kesihatan awam di Malaysia.

1000226039

Sementara itu, Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Ghani @ Ab Ghani meluahkan rasa syukur kerana akhirnya naskah JPRF dan JPRP menjadi kenyataan.

1000226047

"Menelusuri sejarah penyediaan JPRP khususnya, bukanlah satu perkara yang boleh dipandang remeh.

1000226055

"Penghasilan kedua-dua naskah ini, tidak mudah khususnya JPRP kerana kekangan demi kekangan termasuk penularan COVID-19 hampir menenggelamkan JPRP, namun ianya tidak melumpuhkan semangat pasukan kerja JPRP untuk meneruskan agenda pelaksanaannya.

1000226037

"Di sinilah keistimewaan warga HPUSM, walaupun hadapi pelbagai kekangan, bukan sekadar JPRP diteruskan malahan ditambah dengan JPRF bergerak seiring sehingga dinoktahkan dengan termeterainya persetujuan bersama pada hari ini," katanya.

Ab Rahman Izaini berharap agar dengan adanya JPRF dan JPRP ini, semua warga HPUSM menjadikannya sebagai rujukan untuk memperkukuhkan sistem pengurusan dan pentadbiran.

1000226043

"Saya yakin, dengan komitmen dan kecaknaan semua, HPUSM akan sentiasa menjadi yang terbaik dan terkehadapan dalam penawaran perkhidmatan kesihatan di peringkat global kerana HPUSM menerajui kepakaran memperkasa kesihatan," jelasnya lagi.

1000226045

Majlis Menandatangani Persetujuan Bersama tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod Kerajaan ANM, Gowri P.S Thangaya; Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelarasan ANM, Saharudin Karsan; Pengarah Negeri ANM, Sukana Suadi; Timbalan Pengarah Operasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa JPRP HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah Pentadbiran merangkap Pengerusi Jawatankuasa JPRF HPUSM, Mohd Saberi Mohd Yusoff dan Timbalan-timbalan Pengarah HPUSM.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 199