Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM PERKASA RAWATAN STROK DENGAN PENUBUHAN UNIT RAWATAN STROK DAN HDU NEUROLOGI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Januari 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengambil langkah proaktif dengan menaik taraf wad 1 Selatan sebagai Unit Rawatan Strok dan Unit Separa Kritikal (HDU) Neurologi bagi memberi perawatan optima kepada pesakit strok selain merupakan satu-satunya wad khusus untuk rawatan pesakit strok di negeri Kelantan dan yang terbesar di pantai timur Semenanjung Malaysia.

1000215833

Unit ini dilengkapi dengan 18 katil, terdiri daripada 14 katil rawatan strok akut dan empat (4) katil rehabilitasi strok manakala HDU Neurologi pula mempunyai kapasiti tujuh (7) katil menjadikan jumlah keseluruhan 25 katil di wad 1 Selatan.

1000215829

Menurut Timbalan Pengarah Operasi HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, sebanyak RM680,000 dibelanjakan untuk kos penambahbaikan wad 1 Selatan menjadikannya Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi yang mula beroperasi sejak bulan Julai 2025 dan di ketuai oleh Pakar Perubatan Neurologi, Profesor Madya Dr. Sanihah Abdul Halim.

”Ini membuktikan bahawa HPUSM sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan dan rawatan yang cemerlang kepada pesakit.

1000215825

”Penyakit strok merupakan antara punca utama kematian dan kecacatan di Malaysia. Strok, khususnya strok jenis iskemia, berlaku apabila salur darah ke otak tersumbat, menyebabkan bekalan darah ke otak terganggu serta mengakibatkan kematian sel otak.

”Seramai 900 hingga 1,000 pesakit strok iskemia dirawat di HPUSM pada setiap tahun,” katanya ketika merasmikan unit tersebut, hari ini.

1000215835

Tambah Mohd Imran, rawatan strok yang cepat, tepat dan bersepadu amat penting kerana rawatan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah dapat mengurangkan kecacatan jangka panjang dan membantu pesakit kembali menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

”Penubuhan Unit Rawatan Strok ini amat penting kerana kajian antarabangsa telah membuktikan bahawa pesakit strok yang dirawat di wad khusus mempunyai peluang pemulihan yang lebih baik, kurang komplikasi dan kadar kematian yang lebih rendah.

1000215827

”Dengan adanya kemudahan ini, ia membolehkan pesakit menerima rawatan yang cekap, tersusun dan mengikut piawaian rawatan antarabangsa,” ujarnya lagi.

Selain itu, Mohd Imran berkata, HPUSM juga merupakan satu-satunya Pusat Rawatan Strok Komprehensif di pantai timur Semenanjung Malaysia yang menyediakan rawatan reperfusi strok secara lengkap.

1000215831

”Antaranya ialah rawatan trombolisis, iaitu pemberian ubat untuk mencairkan darah beku di salur darah di otak serta rawatan trombektomi, iaitu prosedur untuk mengeluarkan darah beku bagi kes sumbatan salur darah yang lebih serius.

”Pusat Rawatan Strok Komprehensif HPUSM juga turut menawarkan perkhidmatan pembedahan serebrovaskular termasuk pembedahan pintasan salur darah otak serta intervensi pembedahan lain bagi kes strok yang lebih kompleks dan serius selain menawarkan program rehabilitasi yang komprehensif merangkumi fisioterapi, terapi pertuturan, terapi cara kerja serta sokongan psikologi, membantu pesakit pulih secara menyeluruh dan kembali berdikari,” jelasnya.

1000215837

Beliau berkata, pesakit-pesakit strok yang menjalani rawatan reperfusi (trombolisis atau trombektomi) memerlukan pemantauan tanda vital yang rapi dan kerap.

”Sehubungan dengan itu, HPUSM turut menyediakan HDU Neurologi bagi memastikan pesakit menjalani rawatan reperfusi dengan selamat.

1000215841

”HDU Neurologi ini mampu merawat pesakit tenat yang memerlukan bantuan pernafasan menggunakan ventilator atau penyakit-penyakit neuromuskular yang lain,” terangnya lanjut.

Kejayaan penubuhan Unit Rawatan Strok HPUSM ini adalah hasil kerjasama erat pasukan pelbagai disiplin terdiri daripada pakar perubatan kecemasan, neurologi, neurosurgeri, neuro-intensif, radiologi intervensi, rehabilitasi, jururawat serta kakitangan sokongan.

Mohd Imran turut memaklumkan bahawa HPUSM juga aktif dalam penyelidikan dan kajian klinikal strok di peringkat antarabangsa.

”Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan USM untuk memastikan rawatan yang diberikan sentiasa selari dengan perkembangan dan bukti saintifik terkini.

1000215839

”Penubuhan Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi juga diharap dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat, meningkatkan hasil rawatan pesakit strok serta mengukuhkan peranan HPUSM sebagai pusat rujukan strok terkemuka di pantai timur dan negara amnya,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin, Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Nor Hayati Mohamad, Penolong Pendaftar mewakili Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin dan Pengerusi Jawatankuasa Majlis Perasmian Unit Rawatan Strok dan HDU Neurologi HPUSM, Profesor Madya Dr. Sanihah Abd Halim.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 299