HPUSM PERKUKUH PERKHIDMATAN KESUBURAN MELALUI PENJENAMAAN SEMULA PERKHIDMATAN INFERTILITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 April 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan rawatan kesuburan di negara ini menerusi penjenamaan semula Unit Rawatan Kesuburan Hospital USM kepada Perkhidmatan Infertiliti HPUSM.

Langkah strategik ini mencerminkan komitmen berterusan HPUSM dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif yang komprehensif, berkualiti tinggi serta berteraskan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan pesakit.
Unit Rawatan Kesuburan Hospital USM yang mula beroperasi pada tahun 2014 di bawah pentadbiran Hospital USM telah melalui perkembangan signifikan daripada kemudahan asas kepada sebuah unit yang kini menghampiri piawaian makmal ‘in-vitro fertilization’ (IVF) bertaraf standard.

Perkhidmatan IVF atau lebih dikenali sebagai kaedah bayi tabung uji memberikan peluang dan harapan baharu kepada pasangan yang berdepan masalah ketidaksuburan untuk memiliki zuriat.

Menurut Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani@Ab Ghani, sepanjang lebih sedekad beroperasi, Unit Rawatan Kesuburan Hospital USM yang kini dikenali sebagai Perkhidmatan Infertiliti HPUSM telah membantu ramai pasangan mencapai kehamilan melalui rawatan yang konsisten dan berkesan.

“Penambahbaikan dari segi makmal dan operasi telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan apabila lima (5) kehamilan berjaya direkodkan dalam tempoh enam (6) bulan pertama selepas penambahbaikan dilaksanakan.

“Selain itu, Perkhidmatan Infertiliti HPUSM turut berperanan penting dalam mengendalikan kes-kes kesuburan yang kompleks, termasuk melibatkan pesakit yang sebelum ini tidak diterima di pusat rawatan lain disebabkan faktor seperti usia, berat badan atau kegagalan rawatan terdahulu,” katanya ketika berucap merasmikan penjenamaan semula perkhidmatan tersebut, hari ini.

Tambah Ab Rahman Izaini, kewujudan perkhidmatan IVF di HPUSM juga memberikan impak besar kepada masyarakat khususnya di Kelantan dan Pantai Timur yang sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan di luar negeri dengan kos dan beban emosi yang tinggi.

“Selaras dengan penjenamaan semula ini, Perkhidmatan Infertiliti HPUSM kini diletakkan di bawah Pejabat Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM bagi memastikan pembangunan perkhidmatan yang lebih strategik dan mampan.
“Penjenamaan semula ini adalah langkah penting untuk memastikan lebih ramai pasangan mendapat akses kepada rawatan kesuburan yang berkualiti,” ujarnya lagi.

Ab Rahman Izaini berkata, memiliki zuriat adalah impian setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Namun tidak semua pasangan suami isteri mampu memiliki zuriat secara normal kemungkinan disebabkan masalah kesihatan dan kesuburan yang dihadapi oleh mereka.

“Masalah kesuburan adalah masalah besar dan merupakan satu kondisi yang melibatkan perasaan individu dan masalah ini juga boleh mengakibatkan kemusnahan ikatan pernikahan dan institusi keluarga.

“Perkhidmatan Infertiliti HPUSM bukan sekadar ingin merawat, tetapi memberi peluang kepada pasangan untuk membina sebuah keluarga kerana setiap kehamilan bukan sekadar statistik, tetapi kisah harapan yang menjadi kenyataan,” jelasnya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Asrenee Ab. Razak; Ketua Jabatan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi PPSP USM, Profesor Madya Dr. Mohd Pazudin Ismail dan Penyelaras Perkhidmatan Infertiliti HPUSM, Profesor Madya Dr. Adibah Ibrahim.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 159