Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM PERLUAS AKSES RAWATAN BERTEKNOLOGI TINGGI MELALUI PEMBEDAHAN ROBOTIK TKR

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Februari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Hospital Pakar USM (HPUSM) terus memperkukuh komitmennya dalam menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan bertaraf tinggi apabila memperkenalkan perkhidmatan Pembedahan Robotik Total Knee Replacement (TKR) menggunakan ROSA® Knee System daripada Zimmer Biomet.

Perkhidmatan berteknologi tinggi ini merupakan satu inisiatif strategik yang menggabungkan kecemerlangan klinikal, pendidikan perubatan dan penyelidikan saintifik, selaras dengan peranan HPUSM sebagai Hospital Pengajar Universiti (HPU) terkemuka di negara ini.

1000223201

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pasukan ‘Arthroplasty Reconstructive Unit’, Jabatan Ortopedik HPUSM telah mencatat pencapaian penting apabila menjadi pasukan pertama di Pantai Timur Malaysia yang menggunakan ‘ROSA® Knee System’ bagi pembedahan ‘Total Knee Arthroplasty Unilateral’.

“Prosedur pertama berjaya dilaksanakan pada 23 September 2025, dan sehingga kini seramai 13 pesakit telah menjalani pembedahan menggunakan sistem robotik ini dengan hasil klinikal awal menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

1000223203

“Pelaksanaan teknologi robotik ini juga merupakan sebahagian daripada komponen ‘Teaching and Learning’ (T&L) dalam Program Sarjana Perubatan (Ortopedik), di mana pelajar pascasiswazah didedahkan kepada amalan pembedahan berketepatan tinggi, perancangan pra-pembedahan berasaskan data serta penilaian intra-operatif secara objektif.

“HPUSM turut berperanan sebagai antara pusat latihan utama dalam penghasilan pakar ortopedik di Malaysia, selain menawarkan Program ‘Fellowship Arthroplasty’ bagi latihan lanjutan dalam pembedahan penggantian sendi,” katanya ketika ditemui selepas meluncurkan perkhidmatan berkenaan sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 Peringkat Kampus Kesihatan, di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000223199

Tambah Abdul Rahman, ‘ROSA® Knee System’ berfungsi sebagai pembantu pembedahan yang menyokong pakar bedah melalui perancangan pra-pembedahan yang terperinci serta maklum balas intra-operatif masa nyata, termasuk pengukuran penjajaran lutut dan keseimbangan tisu lembut.

“Pendekatan ini membantu pakar bedah membuat keputusan klinikal yang lebih konsisten dan berasaskan data.

“Pengenalan perkhidmatan ini membolehkan masyarakat di Pantai Timur mendapat akses kepada rawatan pembedahan lutut berteknologi tinggi tanpa perlu dirujuk ke luar kawasan, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan sosial pesakit serta keluarga,” ujarnya lagi.

1000223205

Beliau berkata, perkhidmatan pembedahan ini juga menyokong peningkatan kualiti hidup pesakit melalui pemulihan fungsi lutut yang lebih baik dengan penggunaan teknologi terkini.

“Selain itu, pelaksanaan perkhidmatan ini juga dapat memperkukuh peranan HPUSM sebagai platform latihan klinikal bersepadu, di mana inovasi teknologi dapat diintegrasikan secara langsung dalam pengajaran, latihan kepakaran dan penyelidikan.

1000223209

“Pendekatan ini menyumbang kepada penghasilan graduan perubatan dan pakar ortopedik yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan sistem kesihatan moden,” jelasnya lanjut.

1000223207

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menerajui inovasi perubatan, translasi ilmu dan impak kepada masyarakat, di samping mengukuhkan reputasi universiti sebagai institusi penyelidikan dan pendidikan yang responsif terhadap keperluan kesihatan negara. Ia turut membuka peluang kerjasama strategik dengan industri peranti perubatan dan institusi akademik di peringkat nasional serta antarabangsa.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 151