HPUSM RAIKAN SUMBANGAN AJK TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT 2022 - 2024
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Disember 2025 – Bagi menghargai komitmen serta sumbangan berterusan ahli jawatankuasa pengurusan Tabung Kebajikan Pesakit, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) hari ini menganjurkan Majlis Penghargaan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM bagi tempoh 2022 hingga 2024, melibatkan seramai 11 orang ahli jawatankuasa.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, yang juga merupakan tulang belakang kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan melibatkan tabung berkenaan.

Menurut beliau, Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM ditubuhkan bagi membantu pesakit yang memerlukan sokongan kewangan, khususnya untuk menampung kos rawatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, peralatan kesihatan serta keperluan asas sepanjang tempoh rawatan di hospital.
“Sepanjang tempoh 2022 hingga 2024, tabung ini telah berjaya menyalurkan bantuan kepada ratusan pesakit daripada pelbagai latar belakang.
“Bantuan yang disampaikan bukan sahaja meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga, malah turut memberi sokongan moral serta menyuntik sinar harapan kepada mereka yang sedang berdepan cabaran kesihatan,” katanya.

Ab Rahman Izaini turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan keikhlasan.
Beliau juga menghargai sokongan berterusan pihak pengurusan HPUSM dalam menjayakan pelbagai inisiatif kebajikan hospital.
“Penghargaan turut dizahirkan kepada para penyumbang, dermawan, badan korporat serta individu yang telah menghulurkan sumbangan dalam bentuk kewangan mahupun tenaga, yang menjadi faktor penting dalam memastikan kelangsungan dan keberkesanan Tabung Kebajikan Pesakit HPUSM.

“Saya berharap agar semangat kerjasama dan budaya prihatin ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi memastikan kebajikan pesakit sentiasa terpelihara, selari dengan komitmen hospital dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang holistik dan berteraskan nilai kemanusiaan,” jelasnya lagi.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Ketua Unit Perubatan Hiperbarik HPUSM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman dan Ketua Unit, Unit Kerja Sosial Perubatan HPUSM, Shamsul Amri Sallehuddin.
Teks Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 187