HPUSM SAMBUT 12 BAYI MERDEKA SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN KE-68
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 September 2025 – Kelahiran bayi pada tanggal 31 Ogos bukan sahaja detik bermakna buat keluarga, malah melambangkan kesinambungan kemerdekaan negara Malaysia.

Tahun ini, seramai 12 bayi merdeka dilahirkan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) ketika seluruh negara menyambut Hari Kebangsaan ke-68, semalam. Daripada jumlah tersebut, lima (5) bayi lelaki dan tujuh (7) bayi perempuan dilahirkan sama ada secara normal atau melalui pembedahan.

Bagi meraikan kelahiran istimewa itu, HPUSM tidak ketinggalan menganjurkan Majlis Sambutan Bayi Merdeka Peringkat HPUSM 2025 di Ruang Legar Wad 2 Topaz, hari ini. Majlis disempurnakan oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, yang turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kejururawatan HPUSM dan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM sebagai penganjur utama serta para penaja iaitu Co-opbank Pertama dan De Baeby yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.

Menurut Ab Rahman Izaini, penganjuran sambutan tahunan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mengangkat nilai kasih sayang, kebersamaan dan penghargaan terhadap generasi baharu yang bakal mewarnai masa depan negara.

“Bayi Merdeka yang lahir pada 31 Ogos menjadi lambang kemerdekaan serta satu amanah untuk kita bentuk sebagai generasi berakhlak mulia, berilmu dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

“HPUSM juga merupakan pusat rujukan utama bagi kes kelahiran berisiko tinggi di Pantai Timur serta menerima pesakit dari seluruh Kelantan dan daerah Besut, Terengganu.

“Kejayaan ini adalah hasil kepakaran tenaga pakar, sokongan jururawat terlatih serta kemudahan teknologi moden yang sentiasa dipertingkatkan,” ujarnya.

Ab Rahman Izaini berkata, HPUSM mencatat purata kelahiran bulanan antara 350 hingga 600 dengan kadar keselamatan ibu dan bayi yang tinggi.

“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada komitmen berterusan warga HPUSM dalam mengekalkan kualiti perkhidmatan obstetrik yang cemerlang,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan ibu dan bayi sentiasa menjadi keutamaan HPUSM, selaras dengan piawaian antarabangsa serta seiring dengan pencapaian negara yang berjaya menurunkan kadar kematian ibu dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Sementara itu, seorang ibu bayi Merdeka, Najihah Mohamad Zain, 28, berkata, beliau teruja melahirkan anak keduanya pada hari keramat sambutan kemerdekaan negara.
“Sepatutnya anak saya lahir pada 29 Ogos, namun tarikh kelahiran berganjak dua (2) hari. Malah, saya sempat menyertai Sambutan Hari Merdeka bersama keluarga pada malam 31 Ogos sebelum merasai tanda bersalin sekitar jam 3 pagi.
“Pada jam 1.42 tengah hari, saya selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.4 kilogram secara normal. Saya bersyukur dan berasa sangat bertuah kerana anak saya ini dilahirkan pada tarikh keramat yang akan dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Seorang lagi ibu, Siti Sarah Che Salleh, 24, yang melahirkan anak sulung pada tarikh sama berkata, pengalaman itu menjadi hadiah paling bermakna dalam hidupnya.

“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal. Terima kasih kepada jururawat dan doktor HPUSM yang memberikan layanan terbaik dan sentiasa membantu sepanjang proses bersalin.
“Saya amat bersyukur kerana menjadi salah seorang ibu kepada bayi Merdeka tahun ini,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Dekan USM-KLE, PPSP USM yang juga Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah; Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad dan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Ahmad Akram Omar.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 378