HPUSM SASAR JADI 'GARDEN HOSPITAL' DALAM TEMPOH TIGA TAHUN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Julai 2026 - Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) menyasarkan transformasi sebagai sebuah Hospital Taman (Garden Hospital) dalam tempoh tiga (3) tahun menerusi pelbagai inisiatif penghijauan dan kelestarian bagi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat, kondusif serta terapeutik kepada pesakit, staf dan pengunjung.

Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, pengurusan landskap hospital bukan sekadar mencantikkan persekitaran, sebaliknya menjadi komponen penting dalam menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan mewujudkan suasana yang tenang, selesa dan kondusif kepada pesakit, pelawat serta warga kerja.

Menurutnya, HPUSM dan persekitarannya perlu sentiasa bersih, cantik, selamat serta lestari, bukan sekadar untuk hari ini, tetapi demi kesejahteraan generasi akan datang kerana keindahan, keselamatan dan kelestarian HPUSM adalah tanggungjawab bersama.
“Setiap warga kerja HPUSM mempunyai peranan untuk memastikan hospital ini terus menjadi institusi yang dihormati dan dibanggakan.

“Pelbagai kajian menunjukkan persekitaran hospital yang hijau mampu memberikan kesan terapeutik kepada pesakit, membantu mempercepatkan proses pemulihan, meningkatkan kesejahteraan emosi serta mewujudkan suasana kerja yang lebih positif,” katanya ketika merasmikan ‘Town Hall’ Kelestarian HPUSM 2026: Amalan Terbaik Pengurusan Landskap dan Persekitaran Hospital di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.
Menurut Ab Rahman Izaini, sejajar dengan aspirasi itu, HPUSM akan memperluas usaha penghijauan termasuk penanaman pokok, menaik taraf landskap, memperindah laluan pejalan kaki serta menyediakan ruang yang lebih mesra pesakit dan pengunjung.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan akan menyumbangkan 100 batang pokok kepada HPUSM, manakala Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf laluan pejalan kaki di kawasan hospital bagi melengkapkan usaha memperindah landskap hospital.

“Kelestarian perlu bergerak seiring dengan aspek kebersihan, keselamatan dan pencegahan denggi.

“Setiap jabatan, wad, klinik dan unit disaran memastikan kawasan masing-masing sentiasa bersih, bebas daripada takungan air serta menyelenggara tanaman dengan baik bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes,” jelasnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kelestarian HPUSM, Jawatankuasa Pemantauan Tempat Pembiakan Nyamuk dan Haiwan Perosak Kampus Kesihatan serta semua pihak yang menjayakan Program Gotong-Royong Pembasmian Nyamuk dan Jentik-jentik pada 16 Julai lalu atas komitmen berterusan dalam memperkukuh budaya kelestarian di HPUSM.

“Saya berharap agar momentum tersebut dapat diteruskan bagi merealisasikan hasrat menjadikan HPUSM sebagai sebuah Hospital Taman yang bukan sahaja cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan, malah menjadi model hospital hijau yang mengutamakan profesionalisme, kesejahteraan dan kelestarian demi manfaat pesakit, pelawat serta generasi akan datang,” ujarnya.

‘Town Hall’ Kelestarian HPUSM 2026: Amalan Terbaik Pengurusan Landskap dan Persekitaran Hospital ini turut menampilkan dua (2) sesi ceramah bertajuk Pencegahan Nyamuk dan Pembiakan Jentik-jentik yang disampaikan oleh Dr .Suhaily Mohd Hairon, serta ceramah Pemilihan dan Penjagaan Pokok ‘Indoor’ dan ‘Outdoor ‘di Pejabat dan Hospital oleh Dr. Khalilah Hassan selain turut diadakan sesi perkongsian inovasi ‘Nova Trap’ oleh pasukan Jabatan Kecemasan yang dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan Inovasi Green Genius Kampus Kesihatan USM.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM yang juga Pengerusi Program Kelestarian HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamad Daud.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 172