HPUSM SEMAI KEGEMBIRAAN DAN HARAPAN PESAKIT PEDIATRIK SEMPENA HARI KANAK-KANAK SEDUNIA 2025
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 November 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) melalui Jabatan Pediatrik menganjurkan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025 sebagai usaha meraikan pesakit pediatrik serta meningkatkan kesedaran mengenai hak dan kesejahteraan kanak-kanak dalam persekitaran hospital.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, sambutan ini terus menjadi platform penting untuk menyediakan persekitaran rawatan yang ceria, selamat dan mesra kanak-kanak, selain menggalakkan penglibatan komuniti dalam menyokong keperluan pesakit pediatrik di HPUSM.

Bertemakan ‘Bermain, Belajar dan Membesar dengan Selamat’, sambutan tahun ini memberi fokus kepada penyediaan persekitaran kondusif yang menyokong tumbesaran dan kesejahteraan kanak-kanak.

Menurut Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud, kanak-kanak ialah amanah, anugerah serta cahaya yang mewarnai kehidupan kita semua.

“Saya yakin program hari ini juga bertujuan mengeratkan hubungan antara rakan sebaya dan menzahirkan solidariti global sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang disambut pada 20 November setiap tahun.

“Semoga penganjuran sambutan ini dapat membawa kegembiraan kepada pesakit pediatrik dan memberi manfaat kepada keluarga yang hadir,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan tersebut di ruang legar Jabatan Pediatrik HPUSM, hari ini.

Mohamed Ashraf berkata, penganjuran sambutan tahun ini sekali lagi dijayakan melalui kerjasama erat antara HPUSM dan Sekolah Dalam Hospital (SDH) HPUSM.

“Kolaborasi ini membuktikan bahawa walau dalam apa keadaan sekalipun, termasuk ketika anak-anak perlu berada di hospital, hak mereka untuk bermain, belajar, berinteraksi dan merasai detik-detik gembira tetap menjadi keutamaan kita.

“Anak-anak kita berhak dinaungi kasih sayang, dihargai serta dirai sebagai generasi pewaris masa depan negara.
“Ini adalah usaha berterusan hospital dalam menyediakan sokongan holistik bagi perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, HPUSM menekankan pendekatan holistik dalam penjagaan pesakit pediatrik dengan memberi perhatian kepada keperluan fizikal, emosi, mental dan sosial, manakala sokongan pendidikan melalui SDH memastikan kanak-kanak tidak tercicir daripada proses pembelajaran sepanjang tempoh rawatan.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sambutan ini berlangsung termasuk pembelajaran interaktif, permainan, demonstrasi keselamatan, aktiviti kreativiti yang memberi nilai tambah kepada pengetahuan dan perkembangan sosial peserta cilik.

Sambutan turut diserikan dengan penyampaian cenderahati, sesi fotografi serta aktiviti santai bersama kanak-kanak sebagai simbolik komitmen hospital dalam menyantuni pesakit pediatrik serta memelihara hak dan kebajikan mereka.
Sambutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran murid-murid dari Program Inklusif Anak Cemerlang D’PRINCE USM, guru-guru SDH serta tetamu istimewa, Muhd Adib Syafiq Wahid, 11, kanak-kanak gigih yang membantu menyara keluarganya dengan menjual telur puyuh yang menjadi inspirasi dan contoh sempena sambutan hari kanak-kanak di HPUSM.

Turut hadir ialah, Ketua Jabatan, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Ikram Ilias; Penaung Program Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025 Peringkat HPUSM, Profesor Madya Dr. Noraida Ramli; Penyelia SDH HPUSM, Teo Seng Hue; Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan HPUSM, Norhayati Mohamad serta Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan Unit Klinikal HPUSM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd.
Teks: Rosalwani Che Soh/Foto Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 343