Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HPUSM SERAH CERMIN MATA KEPADA 99 PELAJAR SEKOLAH RENDAH KELANTAN DI BAWAH INISIATIF KPT PRIHATIN MADANI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Disember 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus memperkukuh peranannya dalam menjaga kesihatan penglihatan kanak-kanak apabila membuat penyerahan 99 pasang cermin mata kepada pelajar sekolah rendah dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok dan PPD Pasir Mas, hari ini.

1000207603

Penyerahan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022 bagi mengesan dan menangani masalah rabun dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya daripada golongan memerlukan.

1000207611

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal HPUSM, Profesor Dr. Zaidi Zakaria, pelaksanaan program ini digerakkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), HPUSM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, PPD, Persatuan Optometris Kelantan (PROPTON), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta rakan penaja, EssilorLuxottica OneSight Foundation.

1000207605

“99 orang pelajar dari PPD Bachok dan PPD Pasir Mas dikenal pasti untuk menerima sumbangan cermin mata selepas melalui proses saringan penglihatan dan penilaian profesional.

1000207613

“Secara keseluruhan, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 1,115 pasang cermin mata telah diserahkan kepada murid-murid yang dikenal pasti memerlukan di seluruh negeri Kelantan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Cermin Mata kepada Pelajar Sekolah Rendah Negeri Kelantan di bawah Inisiatif Program (KPT) Prihatin MADANI: Pengesanan dan Intervensi Mata Rabun, yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM.

1000207615

Tambahnya, melalui inisiatif KPT Prihatin MADANI ini, pelajar kategori asnaf menerima bantuan dana zakat melalui MAIK, manakala pelajar daripada kategori B40 pula menerima tajaan cermin mata hasil sokongan EssilorLuxottica OneSight Foundation.

1000207607

“Pendekatan menyeluruh ini memastikan murid yang mengalami masalah penglihatan dapat terus mengikuti sesi pembelajaran secara optimum tanpa kekangan kewangan atau halangan akses kepada rawatan awal.

1000207617

“Sebagai sebuah hospital pengajar universiti, HPUSM menzahirkan komitmen berterusan dalam menerajui usaha kawalan rabun (myopia control) di peringkat nasional selaras dengan aspirasi USM untuk melahirkan generasi masa hadapan yang sihat, berdaya saing dan berpengetahuan.

1000207619

“Intervensi awal serta pembetulan penglihatan yang tepat bukan sahaja membantu meningkatkan tahap tumpuan murid di dalam bilik darjah, malah berupaya memperkukuh pencapaian akademik dan mengurangkan risiko keciciran pembelajaran,” jelasnya lagi.

1000207623

HPUSM turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi serta rakan strategik atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam menjayakan agenda kesihatan penglihatan kanak-kanak, khususnya di Negeri Kelantan.

1000207601

Sementara itu, seorang penerima cermin mata yang juga merupakan pelajar darjah 1, Sekolah Kebangsaan Kelar, Pasir Mas, Mohamad Ammar Mohamed Lokman, 7, berkata, beliau sangat berterima kasih kepada HPUSM yang sering mengadakan pemeriksaaan mata disekolah dan memilihnya untuk menerima cermin mata percuma ini.

“Terima kasih HPUSM bagi cermin mata kepada saya kerana ia dapat membantu saya ketika belajar disebabkan saya sering ditegur oleh cikgu kerana lambat menulis akibat tidak nampak dengan jelas.

1000207621

“Mata saya mula menjadi kabur akibat masuk pasir dan bukan disebabkan bermain telefon. Selepas daripada itu, saya perlu berulang alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Keluarga saya bukan tidak mampu untuk membuat cermin mata, tetapi ada perkara lain yang perlu ayah dahulukan,” katanya ketika ditemu bual selepas majlis tersebut.

1000207609

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengarah Korporat dan Kelestarian, HPUSM, Profesor Dr. Shatriah Ismail; Ketua Jabatan, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Azhany Yaakub; Penyelaras Perkhidmatan Optometri HPUSM merangkap Presiden PROPTON, Ahmad Sharmizi Majid; Pegawai Agihan Zakat MAIK, Siti Farahida Fauzi; Pegawai Pendidikan, PPD Pasir Mas, Kamil Ahmad dan Penolong Pegawai Pendidikan (Unit HEM), PPD Bachok, Arman Hussin.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 198