HPUSM TERUS KOMITED SOKONG AMALAN PENYUSUAN SUSU IBU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Ogos 2026 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus komited mempromosikan amalan penyusuan susu ibu sebagai usaha melahirkan generasi yang lebih sihat dan sejahtera menerusi Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 Peringkat HPUSM, hari ini.

Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani berkata, sambutan yang bertemakan ‘Breastfeeding for a Sustainable Start in Life: Strengthen What Works’ atau Penyusuan Susu Ibu untuk Permulaan Kehidupan yang Mampan: Perkukuh Apa yang Berkesan itu menekankan kepentingan penyusuan susu ibu sebagai pelaburan jangka panjang dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat, sejahtera dan lestari.
“Tema ini mengingatkan kita bahawa penyusuan susu ibu bukan sahaja memberi manfaat kepada ibu dan bayi, malah turut menyumbang kepada pembentukan generasi masa hadapan yang lebih sihat.

“Pelbagai kajian telah membuktikan bahawa penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi tempoh enam (6) bulan pertama kehidupan, yang kemudiannya diteruskan sehingga dua (2) tahun atau lebih, bersama-sama pemberian makanan pelengkap yang sesuai, memberikan pelbagai manfaat kepada bayi.
“Antaranya termasuklah membantu meningkatkan sistem imuniti, mengurangkan risiko pelbagai penyakit, menyokong perkembangan fizikal dan mental serta mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dengan anak,” katanya ketika merasmikan program tersebut di perkarangan Klinik Obstetrik dan Ginekologi HPUSM.

Menurut Ab Rahman Izaini, penyusuan susu ibu dapat membantu proses pemulihan selepas bersalin, mengurangkan risiko terhadap beberapa penyakit serta memberikan manfaat kepada kesejahteraan emosi.
“Dari sudut ekonomi dan alam sekitar, penyusuan susu ibu juga merupakan pilihan yang sangat lestari kerana tidak memerlukan pembungkusan, pengangkutan atau penggunaan tenaga yang tinggi seperti produk pengganti susu ibu.

“Sebagai sebuah hospital pengajar dan pusat rujukan kesihatan yang sentiasa mengutamakan kualiti perkhidmatan, HPUSM komited untuk terus menyokong amalan penyusuan susu ibu melalui pelbagai inisiatif.
“Antaranya termasuklah penyediaan perkhidmatan kaunseling laktasi, pendidikan kepada ibu dan keluarga, latihan kepada petugas kesihatan serta sokongan berterusan kepada ibu-ibu yang menghadapi cabaran dalam penyusuan,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, kejayaan penyusuan susu ibu bukanlah tanggungjawab ibu semata-mata, sebaliknya ia memerlukan sokongan padu daripada ahli keluarga, majikan, komuniti dan petugas kesihatan.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, mesra ibu menyusu serta sentiasa memberikan galakan dan sokongan kepada setiap ibu agar dapat meneruskan penyusuan dengan yakin.

“HPUSM turut menyediakan ruang-ruang penyusuan bagi kemudahan ibu yang datang mendapatkan rawatan, termasuk di beberapa klinik pakar, Jabatan Radiologi, Pusat Pengajian Sains Pergigian serta beberapa lokasi lain.
“Kemudahan ini juga boleh dimanfaatkan oleh warga kerja kita yang memerlukan ruang yang sesuai untuk menyusukan anak atau memerah susu ibu semasa bertugas,” jelasnya.

Selesai majlis perasmian, Ab Rahman Izaini turut menyantuni ibu-ibu selepas bersalin di Wad 2 Topaz serta menyampaikan cenderahati sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka mengamalkan penyusuan susu ibu.

Beliau turut berharap agar segala usaha yang dilaksanakan ini memberikan impak positif kepada para ibu dan warga kerja, sekali gus menjadikan HPUSM sebagai organisasi yang sentiasa komited dalam menyokong dan mempromosikan amalan penyusuan susu ibu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Penyelaras Unit Laktasi merangkap Penasihat Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2026 Peringkat HPUSM, Profesor Madya Dr. Zaharah Sulaiman; Pengerusi 1 Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) HPUSM, Profesor Madya Dr. Noraida Ramli dan wakil Ketua Jabatan, Jabatan Obstetrik & Ginekologi HPUSM, Dr. Ahmad Amir Ismail.
Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Foto: Mohammad Faisal Mohd Afly
- Created on .
- Hits: 227