HUBUNGI HOTLINE UNTUK PENASIHATAN KESIHATAN BANTU KURANGKAN RISIKO COVID-19 KEPADA ORANG LAIN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Mei 2021 – “Warga Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) perlu sedar bahawa kita semua adalah berisiko dijangkiti virus COVID-19, jadi untuk mengenalpasti risiko tersebut, segera hubungi ‘Hotline’ COVID-19 Kampus Kesihatan bagi penilaian risiko sekiranya anda mempunyai gelaja seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak, sakit mata dan lain-lain tanda gejala jangkitan,” demikian ujar Penyelaras ‘Hotline’ COVID 19, Kampus Kesihatan USM, Dr. Zainab Mat Yudin.
Menurut Zainab, sekiranya risiko kontak berkait dengan kes positif pula, warga kampus perlu segera maklumkan kepada Ketua Jabatan atau penyelia masing-masing bagi konsultasi seterusnya bersama Bilik Gerakan Kampus Kesihatan.
Tambahnya, sikap cakna staf yang segera mengisi borang deklarasi risiko COVID-19 secara dalam talian dan menghubungi ‘Hotline’ terlebih dahulu akan membantu mengurangkan risiko jangkitan sebelum seseorang itu memasuki pejabat atau ruang kerja.
“Tahap kesedaran yang tinggi amat penting dalam situasi genting ini untuk sama-sama kita membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19 kerana COVID-19 mungkin berada di mana-mana dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang kurang berwaspada. Sekiranya anda mempunyai gejala COVID-19, anda bukan sahaja berisiko, tetapi turut merisikokan orang lain di sekeliling anda.
“Kita semua sedia maklum, kebanyakan daerah di Kelantan sudah berada pada zon merah iaitu zon yang sangat berisiko untuk dijangkiti virus ini. Oleh itu, warga kampus dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan mematuhi standard operasi prosedur (SOP) semasa perintah kawalan pergerakan (PKP),” jelasnya.
Zainab berkata, pasukan ‘Hotline’ bertanggungjawab mengendalikan panggilan yang dibuat warga kampus (staf dan pelajar) bagi menilai tahap risiko COVID-19 yang dihadapi seseorang itu telah ditubuhkan inisiatif Pihak Pengurusan Hospital USM sejak awal pandemik melanda negara pada tahun lalu.
“Hotline COVID-19 Kampus Kesihatan USM beroperasi di Bilik Rawatan 1, Klinik Warga Staf Hospital USM dan boleh dihubungi menerusi talian berikut:
09-7673131 (8.30 pagi – 4.30 petang [Ahad-Rabu] / 8.30 pagi – 3.00 petang [Khamis])
09-7673132 (9.00 pagi – 1.00 tengah hari (hari kelepasan & cuti umum)
019-6947836/0193761296 (talian ‘whatsapp’ dalam tempoh operasi sahaja).
“Petugas yang menjawab panggilan telah dilatih untuk bertanya soalan-soalan penting bagi mengenalpasti tahap risiko sebelum berbincang dengan ahli pasukan yang lain untuk penilaian selanjutnya sama ada kes tersebut perlu menjalani isolasi, membuat ujian calitan (swab test) atau dirujuk ke Klinik Saringan Infeksi (SRI–KRK) untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya lagi.
Zainab yang juga Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian turut bertugas di Klinik Rawatan Keluarga Hospital USM sebagai Pakar Perubatan Keluarga berkata, terdapat beberapa risiko COVID-19 yang dibuat penilaian oleh pasukan ‘Hotline’ antaranya ialah risiko perjalanan (ke luar negara atau zon merah negeri lain), risiko individu bergejala yang tidak berkaitan dengan kontak kes, risiko individu yang menghadiri perjumpaan (kenduri kahwin, kenduri arwah, majlis hari jadi dan lain-lain) serta pertanyaan umum lain seperti memberi penasihatan bagi mereka yang ingin ke luar negeri atau kawasan berisiko tinggi.
“Kadar penggilan diterima oleh pasukan ‘Hotline’ adalah sejajar dengan situasi semasa. Setiap kali berlaku peningkatan kes di dalam komuniti atau pun kes dalaman kampus, ia pernah mencecah sehingga 60 hingga 100 panggilan.
“Walaubagaimanapun, sejak Bilik Gerakan Kampus mula beroperasi dan mengendalikan risiko kontak kes positif, kadar panggilan berkurang dan anggaran sekarang 20 hingga 30 panggilan sehari dan pernah suatu ketika dahulu kita mendapat bilangan satu digit panggilan apabila negara berjaya seketika membendung wabak sehingga ke angka satu digit pada tahun lalu,” katanya.
Zainab turut menjelaskan bahawa setiap panggilan yang diterima akan dibuat penilaian dan didokumentasi sebagai bukti rekod panggilan staf berisiko yang terdapat di Kampus Kesihatan untuk rujukan sekiranya terdapat isu berbangkit.
“Pada masa yang sama juga, borang deklarasi risiko COVID-19 secara atas talian (online) amat penting kerana ia mengumpulkan maklumat staf berisiko di Kampus Kesihatan secara keseluruhan dan menjadi rujukan pihak pengurusan kampus.
“Namun, masih ada staf yang tidak cakna untuk mengisi deklarasi ini setiap kali berlaku perubahan risiko atau terdapat risiko baharu,” ujarnya lanjut.
Untuk rekod, pasukan ‘Hotline’ Kampus Kesihatan terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat yang akan bertugas mengikut jadual giliran yang ditetapkan.
Petugas-petugas ini bukan sahaja daripada staf Jabatan Perubatan Keluarga tetapi turut dibantu staf daripada beberapa jabatan lain dalam kampus dan penglibatan staf luar jabatan memberi kelebihan dari segi kesedaran kepentingan penilaian risiko staf di jabatan masing-masing.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 137