Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

IKHLAS DAN ADIL NILAI UTAMA PERLU ADA DALAM DIRI SETIAP WARGA HOSPITAL USM – HISAMUDDIN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 April 2023 – “Nilai ikhlas dan adil telah dipilih sebagai nilai Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk diterapkan dalam setiap aktiviti dan perkhidmatan selain menjadi pendorong untuk semua staf menjalankan tugas dengan penuh amanah dan terbaik,” demikian titipan kata-kata semangat daripada Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman.

1cea6c7e 78b5 47d4 bf29 3f0968c5eb34

Menurut beliau, bekerja dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT akan menjadikan kerja sebagai satu ibadah dan amal jariah yang pahalanya akan dituai di akhirat kelak.

“Nilai ini akan menjadi motivasi kepada kita untuk memberi perkhidmatan terbaik dalam memastikan penjagaan keselamatan pesakit memenuhi prosedur yang ditetapkan.

04d2b763 38bc 4d98 b7d1 d2f11a74ef76

“Nilai adil iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, seperti berlaku adil kepada pesakit iaitu memberi rawatan yang bersesuaian dengan penyakit yang dihidapi serta adil kepada rakan sekerja dengan memastikan semua tugasan diselesaikan dan bekerjasama kerana konsep keadilan itu akan menjadikan Hospital USM satu tempat yang sangat harmoni dan sejahtera untuk semua pihak,” katanya dalam Majlis Bersama Pengarah Hospital USM siri 2 bertemakan Mengangkat Nilai, Mengukuh Kompetensi yang berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

0c26ec6c 2253 4834 b242 93bc0b42ee82

Nik Hisamuddin berkata, Hospital USM akan membangunkan kompetensi seluruh warganya berdasarkan empat (4) dimensi iaitu dalam kepakaran setiap individu, kepakaran untuk memperbaiki secara berterusan proses kerja dalam menjaga keselamatan pesakit, kakitangan dan kesihatan persekitaran, dalam konteks organisasi Hospital USM secara khusus dan USM secara umum serta mempertingkatkan bidang teknologi, komunikasi dan maklumat.

“Penekanan kompetensi ini adalah asas untuk membawa Hospital USM ke peringkat seterusnya dalam menangani cabaran masa hadapan di era revolusi industri 4.0 dan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economy)," jelasnya.

 3fbda514 b2a1 4434 ada0 afdaf717f0dd

Tambah Nik Hisamuddin, pada tahun 2023, Hospital USM akan memberi fokus kepada pelaksanaan Program Keselamatan Kakitangan kesinambungan daripada program keselamatan pesakit, kakitangan dan persekitaran yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019.

“Program Keselamatan Kakitangan adalah berpaksikan kepada dua (2) konsep iaitu pembangunan kompetensi (competency building) dan persekitaran yang adil (just culture).

“Pembangunan kompetensi merangkumi aktiviti meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan memupuk perlakuan bagi memastikan persekitaran penjagaan yang selamat dan adil secara keseluruhan untuk Hospital USM merangkumi semua kakitangan, pusat pengajian dan Kampus Kesihatan secara keseluruhannya.

e2085739 ea83 4750 8b44 e8c0cdba8bc7

“Sebagai permulaan kepada Program Keselamatan Kakitangan, sebanyak sembilan (9) Prosedur Kerja Selamat (PKS) telah dibangunkan selepas mengenal pasti insiden yang kerap berlaku di Hospital USM iaitu Keselamatan Air Hemodialisis, Mengendali Jarum Suntikan, Mengangkat Pesakit, Mengelakkan Lantai Licin, Mengendali Tumpahan Bahan Radioaktif, Mengendali Tong Oksigen Mudah Alih, Pengurusan Ubat Kimoterapi, Mengambil dan Menyimpan Barang dari Tempat Tinggi serta Pengurusan Ubat dan Tumpahan Sitotoksik,” ujarnya lagi.

Selain itu, Nik Hisamuddin turut menjelaskan bahawa Hospital USM telah memulakan inisiatif akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) edisi ke-6 dalam memastikan penjagaan perubatan dan kesihatan yang diberikan oleh Hospital USM setaraf dengan hospital terbaik di Malaysia.

241f0caa 30d2 41a0 8d23 1e4309747d59

“Seramai 14 orang Pegawai Perubatan telah dilantik sebagai Pakar Rujuk MSQH dan sedang menjalani proses pembangunan kompetensi.

“Kumpulan pakar rujuk ini seterusnya akan membangunkan kompetensi kumpulan pasukan petugas MSQH yang akan diwakili oleh staf dari semua perkhidmatan di Hospital USM.

“Insya-Allah, kita merancang untuk mendapat akreditasi ini pada tahun 2024 dan kesemua kayu ukur ini akan memacu Hospital USM untuk menjadi hospital terbaik dan bertaraf dunia dalam masa terdekat,” ulasnya lanjut.

364e5e9f 7a3d 4f6f a4cb de94e21050b2

Turut berlangsung dalam majlis tersebut ialah Pelancaran Tabung Fastabiqul Khairat: Aktiviti Ihya Ramadan, Pusat Islam Kampus Kesihatan, penyampaian sijil penghargaan kepada pasukan petugas Hospital USM dan pembentangan prosedur kerja selamat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 217