Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

INSPIRE@HPUSM: LANGKAH TRANSFORMASI DIGITAL SELARI PERKEMBANGAN TEKNOLOGI TERKINI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 Mei 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) terus melangkah maju dalam usaha mendigitalkan sistem kesihatan dengan memperkenalkan sistem baharu yang dinamakan ‘Integrated System for Patient Care, Innovation, Research and Education’ atau dikenali sebagai INSPIRE@HPUSM yang dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada bulan Julai nanti.

INSPIRE@HPUSM bukan sekadar sistem biasa, ia adalah solusi serba lengkap yang menyatukan pelbagai aspek penting dalam pengurusan hospital termasuk pengurusan klinikal, kewangan, aset, pengajaran dan penyelidikan dalam satu platform digital yang lebih tersusun dan sistematik.

1000141199

Menurut Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, proses transformasi sistem ini telah bermula sejak tahun 2018 di mana platform ini dibangunkan pada sistem yang telah sedia ada.

“Rangka sistem ini dimodifikasi mengikut kesesuaian seperti kemasukan maklumat pesakit serta maklumat berkaitan mengikut keperluan unit dalam hospital.

“Sistem ini akan menggunakan platform ‘open source’ kerana kosnya tidak terlalu tinggi dan ia sangat memudahkan kerana mempunyai integrasi dengan semua bahagian klinikal yang kita ada dalam sistem tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam ‘Town Hall INSPIRE@HPUSM’ di Dewan Peperiksaan, Kompleks Pentadbiran Kampus Kesihatan, hari ini.

1000141203

Tambah Ab Rahman Izaini, sistem ini masih lagi di fasa pertama dan memerlukan masa sebelum ianya dapat digunakan di seluruh bahagian dalam hospital.

“Untuk fasa pertama ini, wakil daripada bahagian atau unit akan dihubungi oleh Unit Digital untuk mendapatkan maklumat dan komponen yang diperlukan bagi memenuhi standard di tempat masing-masing terutamanya dalam pengurusan pesakit sehingga pesakit discaj,” jelasnya.

1000141201

“Sistem ini dijangka akan mula digunakan sepenuhnya bermula 1 Julai nanti dan sasaran pertama adalah di Klinik Neurosurgeri.

“Memandangkan sistem masih di peringkat awal, Unit Digital akan memberi fokus kepada pengoperasiannya di Klinik Neurosurgeri dahulu bagi mengenal pasti kemampuan serta masalah yang akan timbul,” jelasnya lagi.

1000141207

INSPIRE@HPUSM akan dikembangkan ke jabatan serta unit lain setelah sistem tersebut memenuhi keperluan di satu-satu tempat mengikut fasa seterusnya.

1000141209

Pengurusan HPUSM yakin INSPIRE@HPUSM akan menjadi pemangkin perubahan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan selain membantu para perawat memberikan perkhidmatan yang lebih selamat, lebih berkesan dan lebih cepat.

1000141205

Dalam masa yang sama, pihak pengurusan menyeru seluruh warga HPUSM untuk memberi sokongan penuh terhadap usaha transformasi ini, kerana perubahan ke arah sistem digital memerlukan masa dan penerimaan semua pihak untuk berjaya.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 120