INSPIRE@HPUSM: PENDIGITALAN PERKHIDMATAN KESIHATAN PUPUK BUDAYA KERJA SISTEMATIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Julai 2025 – Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) melakar satu lagi pencapaian penting dalam usaha ke arah transformasi digital menerusi projek ‘Integrated System for Patient Care, Innovation, Research and Education’ atau dikenali sebagai INSPIRE@HPUSM yang dilaksanakan bermula hari ini.
Pengarah HPUSM, Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izani Ghani @ Ab Ghani berkata, pelaksanaan projek ini adalah manifestasi komitmen HPUSM terhadap agenda pendigitalan perkhidmatan kesihatan sejajar dengan visi dan misi USM serta Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA 2021-2025).
“Projek INSPIRE@HPUSM dilihat sebagai satu inisiatif menyeluruh bagi mengoptimumkan penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui kaedah digital yang berkesan serta mampu memberi impak besar kepada pesakit dan masyarakat.
“Pendigitalan bukan sekadar menukar dokumen fizikal kepada paparan skrin, malah ia menuntut perubahan budaya kerja yang lebih sistematik, tepat dan berasaskan data yang sahih,” katanya ketika melancarkan penggunaan sistem tersebut.
Tambah Ab Rahman Izaini, sistem ini membolehkan keputusan rawatan dibuat dengan lebih pantas dan berasaskan maklumat yang kukuh, sekali gus meningkatkan kualiti rawatan dan penjagaan holistik terhadap pesakit.
“Penggunaan sistem ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan ini merupakan sesi percubaan sebelum tarikh rasmi ‘Go Live’ diumumkan kelak.
“Penggunaan sistem akan diperluaskan ke lokasi-lokasi lain berdasarkan penambahbaikan dan maklum balas yang diperoleh sepanjang tempoh percubaan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, sistem INSPIRE@HPUSM menjadi salah satu komponen penting dalam usaha negara menyokong agenda digitalisasi kesihatan dengan penekanan terhadap pengurusan maklumat pesakit yang lebih cekap, tepat dan holistik.
“Inilah jihad kita, jihad dalam bentuk profesionalisme untuk setiap tindakan walaupun kecil tetapi memberi impak besar dalam memastikan kualiti rawatan yang diterima oleh pesakit sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk pasukan projek, teknikal, klinikal, pentadbiran dan latihan yang menjadi tulang belakang kejayaan fasa pelaksanaan sistem ini,” tambahnya lagi.
Turut hadir semasa sesi pelancaran tersebut ialah Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Timbalan Pengarah (Digital) HPUSM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar serta Ketua-ketua Jabatan dan Unit HPUSM.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 434