Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

INTEGRITI TANPA KOMPROMI ASAS KECEMERLANGAN HPUSM: PENGARAH HPUSM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 April 2026 – “Dalam dunia perkhidmatan kesihatan yang sarat dengan tanggungjawab serta kepercayaan masyarakat, integriti merupakan kompas utama yang membimbing setiap keputusan yang diambil sama ada dalam rawatan pesakit, pengurusan sumber, pelaksanaan tugas pentadbiran mahupun dalam interaksi harian sesama rakan sekerja,” demikian petikan ucapan Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dalam ‘Town Hall’ Aspirasi Apex: Integriti Tanpa Kompromi, Kecemerlangan Tanpa Batas.

WhatsApp Image 2026 04 20 at 4.25.52 PM 1

Menurut beliau, kepercayaan pesakit dan masyarakat terhadap institusi kesihatan tidak dibina hanya melalui kepakaran klinikal semata-mata, tetapi turut bergantung kepada tahap integriti, ketelusan dan profesionalisme yang ditunjukkan secara konsisten.

“Apabila integriti dijadikan asas tanpa kompromi, maka kecemerlangan bukan lagi sesuatu yang terbatas.

“Sebaliknya, ia akan berkembang secara berterusan, melangkaui jangkaan serta memberi nilai tambah kepada setiap perkhidmatan yang kita sampaikan.

WhatsApp Image 2026 04 20 at 4.25.53 PM

“Kecemerlangan tanpa batas bermaksud kita sentiasa berusaha memperbaiki diri, meningkatkan kecekapan, memperkukuh tadbir urus serta berani mencabar kebiasaan demi mencapai tahap perkhidmatan yang lebih berkualiti, inovatif dan berdaya saing,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam ‘town hall’ tersebut, hari ini.

Tambah Ab Rahman Izaini, kecemerlangan yang sebenar hanya dapat dicapai apabila setiap warga kerja bertindak dengan jujur, telus dan bertanggungjawab, serta menjauhi sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan yang boleh mencemarkan kepercayaan terhadap sesebuah institusi.

WhatsApp Image 2026 04 20 at 4.25.53 PM 1

“Saya ingin menyeru seluruh warga HPUSM agar menjadikan integriti sebagai pegangan hidup dan budaya kerja, bukan hanya ketika diawasi, tetapi dalam setiap masa dan keadaan.

“Integriti sebenar teruji apabila kita membuat keputusan yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.

“Setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran kerja yang selamat, telus dan beretika kerana budaya organisasi yang kukuh tidak dibina oleh polisi semata-mata, tetapi oleh sikap, tindakan dan nilai yang diamalkan secara kolektif,” jelasnya lagi.

Ab Rahman Izaini turut menyeru semua warga HPUSM berganding bahu memperkukuh budaya kerja yang berteraskan kejujuran, saling menghormati, akauntabiliti dan profesionalisme agar kecemerlangan yang dicapai benar-benar memberi manfaat berpanjangan kepada pesakit, organisasi dan masyarakat keseluruhannya.

“Penganjuran ‘town hall’ seumpama ini mencerminkan kesungguhan institusi dalam memastikan nilai integriti terus diperkasa sebagai teras utama dalam setiap aspek perkhidmatan.

"Saya juga percaya pertemuan ini menjadi wadah penting untuk kita memperkukuh kefahaman, menyelaras aspirasi serta memperteguh komitmen bersama sebagai warga HPUSM,” katanya.

‘Town hall’ ini juga menampilkan dua ceramah yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan, Wan Siti Junaida Ismail dan Penceramah CJM Global, Md. Shahrizal Che Dan. Kedua-dua penceramah berkongsi pengetahuan serta pengalaman berkaitan aspek integriti, pencegahan rasuah dan amalan tadbir urus yang baik dalam organisasi.

Turut hadir dalam ‘town hall’ ini ialah Pegawai Siasatan Unit Integriti, Pejabat Perundangan Universiti, USM, Dr. Mohd Rodzi Ahmad dan Pegawai Undang-Undang, Kampus Kesihatan USM, Wan Amier Firdaus Wan Mohd Azaman @ Mohd Azman.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria & Nik Arif Mat Daud/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 168