ISSC 2026: PLATFORM GLOBAL LONJAK PENYELIDIKAN TERKINI SAINS SUKAN
KOTA BHARU, KELANTAN, 29 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) terus mengorak langkah memperkasa bidang sains sukan melalui penganjuran ‘14th International Sports Science Conference 2026’ (ISSC 2026) yang menghimpunkan pakar dan penyelidik dari dalam serta luar negara bagi berkongsi kepakaran, hasil penyelidikan dan inovasi terkini demi meningkatkan prestasi manusia serta kesejahteraan global.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail menzahirkan penghargaan kepada para pembentang jemputan yang sanggup hadir dari jauh dan dekat untuk berkongsi ilmu, kepakaran serta pengalaman berharga dalam persidangan ini.
"Membawa tema 'Sports Science for a Sustainable Future: Transforming Performance and Health Worldwide', penganjuran ISSC 2026 amat bertepatan dan relevan dengan keperluan semasa serta mencerminkan keperluan pendekatan holistik, inklusif dan mampan dalam meningkatkan prestasi manusia dan kesihatan secara menyeluruh.

"Penyelidikan dalam prestasi manusia kini tidak lagi terhad kepada sukan elit semata-mata, malah telah diperluas kepada aspek kesihatan, pemulihan dan kualiti hidup yang lebih luas.
“Justeru, usaha para pengkaji dalam bidang ini bukan sahaja berimpak tinggi malah penting untuk masa depan kemanusiaan,” katanya ketika merasmikan persidangan tersebut di Renai Hotel, hari ini.

Tambah Shaiful Bahari, persidangan yang disertai kira-kira 100 peserta melibatkan perwakilan dari negara China, Indonesia, Singapura dan Malaysia ini menunjukkan pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan USM dalam memacu penyelidikan sains sukan.
"Dunia kini mencabar kita untuk menolak sempadan keupayaan manusia malah kita dituntut untuk berlari lebih pantas, melompat lebih tinggi, menjadi lebih kuat dan pada masa yang sama hidup lebih lama dan sihat.

"Jangkaan ini memerlukan individu yang adaptif, berdaya tahan dan responsif terhadap persekitaran serta keperluan masyarakat yang sentiasa berubah," jelasnya lagi.
Menurut Shaiful Bahari, perkembangan sukan di Malaysia telah berkembang dengan amat membanggakan hasil usaha kolektif jurulatih, saintis, profesional penjagaan kesihatan dan pasukan sokongan yang bekerja keras di sebalik tabir.

“Kemajuan ini diperkukuhkan lagi melalui kerjasama berterusan dan platform perkongsian ilmu seperti persidangan ini.
"Sehingga kini, Malaysia telah melahirkan empat (4) jaguh dunia dalam sukan badminton, skuasy, berbasikal dan terjun. Pencapaian ini mencerminkan bukan sahaja bakat, tetapi juga peranan kritikal sains, penyelidikan dan inovasi dalam prestasi manusia.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada semua yang menyumbang dalam bidang penting ini dan berasa sangat kagum setelah meneliti beberapa abstrak yang dibentangkan yang jelas menunjukkan kedalaman, kepelbagaian serta kualiti penyelidikan yang dijalankan," ujarnya.
Shaiful Bahari turut menyeru semua peserta agar memanfaatkan persidangan itu untuk berhubung, bekerjasama dan menterjemahkan usaha mereka kepada sumbangan yang lebih besar.

"Saya akui bahawa komuniti akademik dan saintifik hari ini berdepan cabaran yang semakin kompleks seperti penyelidikan, khususnya dalam prestasi manusia, memerlukan masa, sumber dan komitmen yang tinggi, di samping perlu mematuhi piawaian etika dan integriti profesional yang ketat.
“Pencapaian yang dipamerkan dalam persidangan ini merupakan sesuatu yang amat membanggakan.

"Walaupun teknologi berkembang pesat, tiada mesin atau inovasi yang dapat menggantikan nilai keupayaan manusia dan manusia kekal sebagai aset terbesar sesebuah negara serta teknologi seharusnya menjadi alat untuk meningkatkan potensi manusia, bukan mengatasinya,” katanya.

Menurut beliau lagi, pelaburan berterusan dalam pembangunan prestasi manusia adalah penting bagi memastikan manusia kekal menjadi teras kemajuan dan inovasi.
“Saya yakin bahawa ISSC 2026 akan mencapai matlamatnya sebagai platform perbincangan bermakna, perkongsian ilmu dan pertukaran idea inovatif yang dapat diterjemahkan kepada hasil praktikal demi meningkatkan prestasi manusia dalam sukan, penjagaan kesihatan dan kehidupan seharian,” ulasnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan PPSK USM, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Pengerusi Program Sains Senaman dan Sukan PPSK USM, Dr. Ayu Suzailiana Muhamad.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 114