Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

ISU INTEGRITI DAN RASUAH: PENEKANAN TERHADAP NILAI ETIKA KERJA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 April 2025 - Isu melibatkan penipuan dalam kalangan staf mencetuskan keperluan untuk memperkukuhkan lagi amalan integriti dalam organisasi, terutamanya di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Penekanan turut diberikan kepada kepentingan penerapan nilai etika kerja yang tinggi demi memelihara kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi.

WhatsApp Image 2025 04 28 at 5.43.46 PM

Menurut Pegawai Undang-Undang, Pejabat Perundangan HPUSM, Wan Amier Firdaus Wan Azaman @ Mohd Azman, integriti tidak hanya berkisar kepada pengurusan kewangan semata-mata, malah merangkumi aspek etika dan adab dalam melaksanakan tugasan harian.

“Antara isu yang dikenal pasti termasuklah penyalahgunaan cuti sakit (MC) melalui permohonan yang tidak berasas selain tekanan terhadap pegawai perubatan bagi tujuan mendapatkan MC.

WhatsApp Image 2025 04 28 at 5.43.46 PM 1

“Amalan tidak beretika dalam pengurusan kelulusan cuti juga dikenal pasti, yang mana hal ini boleh memberi kesan kepada imej institusi sekiranya tidak ditangani dengan baik,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Integriti dan Etika Kerja: Menjaga Standard Tinggi Dalam Perkhidmatan di Auditorium Blok Pentadbiran HPUSM, hari ini.

Dalam masa yang sama, pihak pengurusan turut menekankan keperluan untuk mematuhi garis panduan berkaitan penggunaan logo rasmi USM, termasuk dalam penghasilan pakaian berlogo yang memerlukan kelulusan rasmi Pengarah Kampus.

WhatsApp Image 2025 04 28 at 5.43.47 PM

Dalam konteks Islam, Wan Amier Firdaus mengingatkan bahawa rasuah adalah perbuatan yang dilarang keras, melibatkan pemberi, penerima, dan perantara.

Beliau turut merujuk Surah Al-Baqarah ayat 188 yang menegaskan larangan mengambil harta secara batil serta menyeru agar semua yang terlibat segera bertaubat, memohon maaf dan mengembalikan hak atau membayar ganti rugi kepada pihak yang teraniaya.

Wan Amier turut menjelaskan dari sudut undang-undang Islam, pelaku rasuah boleh dikenakan tindakan hukuman jenayah syariah sebagai langkah pencegahan dan pemulihan dalam masyarakat.

WhatsApp Image 2025 04 28 at 5.43.47 PM 1

“Integriti dan etika kerja yang kukuh perlu menjadi teras dalam setiap tugasan di samping memastikan standard perkhidmatan yang tinggi sentiasa dipelihara.

"Amalan integriti yang tinggi bukan sahaja mencerminkan keimanan seseorang, malah menjadi benteng kepada sebarang bentuk kemungkaran seperti rasuah," ujar beliau lagi.

WhatsApp Image 2025 04 28 at 5.43.47 PM 2

Program yang dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada staf pelbagai jawatan dan pelajar itu dilaksanakan sebagai usaha memperkasa budaya kerja yang beretika dan bebas daripada unsur rasuah.

Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 14