Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

JANGAN AMBIL MUDAH CUACA PANAS: LINDUNGI DIRI DARI STROK HABA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mac 2026 - Sejak kebelakangan ini, Malaysia berdepan dengan peningkatan suhu persekitaran yang ketara, sekali gus turut dirasai oleh warga Universiti Sains Malaysia (USM).

Di sebalik langit cerah dan sinaran matahari terik, terselit realiti perubahan iklim yang semakin ketara. Suhu yang meningkat bukan sahaja menjejaskan rutin harian, malah memberi kesan langsung kepada kesihatan dan kesejahteraan warga kampus.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Ahmad Filza Ismail, peningkatan suhu yang berlaku adalah hasil gabungan faktor semula jadi dan aktiviti manusia termasuk perubahan pola cuaca yang menyebabkan suhu menjadi lebih tinggi dan berpanjangan.

“Fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) dan El Nino yang membawa udara panas dan kering dari Lautan Pasifik turut memainkan peranan penting dalam situasi ini sehingga menyebabkan pengurangan taburan hujan di rantau Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan suhu persekitaran.

“Cuaca panas bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal, malah turut menjejaskan tumpuan dan produktiviti harian masyarakat dan warga kampus.

“Para pelajar mungkin mengalami kesukaran untuk fokus dalam pembelajaran, manakala staf pula berisiko mengalami keletihan terutamanya jika terlibat dalam aktiviti luar,” katanya ketika ditemu bual.

Beliau berkata, risiko kesihatan tidak boleh dipandang ringan kerana pendedahan berterusan kepada cuaca panas boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti dehidrasi dan kekejangan otot yang merupakan tanda-tanda kepada kelesuan haba.

“Dalam keadaan lebih serius, ia boleh menyebabkan strok haba yang berpotensi mengancam nyawa.

“Golongan rentan yang berisiko mendapat strok haba ialah warga emas, kanak-kanak, bayi, ibu mengandung atau menyusu serta individu berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti kerana tubuh mereka tidak dapat melakukan mekanisma penyejukan badan seperti orang yang sihat.

“Selain itu, individu yang aktif melakukan aktiviti luar seperti atlet, pekerja binaan, petani dan anggota tentera juga berisiko tinggi mendapat strok haba apabila mereka terpaksa berada di kawasan yang panas untuk tempoh yang lama,” ujarnya lagi.

Ahmad Filza turut menjelaskan antara tanda awal strok haba termasuk pening, sakit kepala, kulit panas dan kering, kekeliruan minda, merapu atau meracau serta degupan jantung yang laju. “Hal ini jika tidak ditangani segera boleh menjadi lebih kritikal.

“Bagi mengurangkan risiko strok haba, orang ramai khususnya warga USM dinasihatkan untuk mengelak melakukan aktiviti luar antara lewat pagi dan awal petang, iaitu tempoh suhu paling tinggi.

“Sekiranya perlu berada di luar rumah atau bangunan, penggunaan pakaian yang longgar, berwarna cerah serta tidak menyerap haba amat digalakkan,” terangnya.

Tambah Ahmad Filza, pengambilan air yang mencukupi juga sangat penting iaitu sekurang-kurangnya dua (2) liter sehari, terutama bagi individu yang aktif.

“Selain itu, berehat di kawasan teduh, menggunakan kipas atau pendingin hawa serta mandi boleh membantu menyejukkan badan.

“Sekiranya seseorang itu mengalami simptom seperti pening atau pengsan, tindakan segera perlu diambil dengan membawa individu tersebut ke tempat teduh, menyejukkan badan dan memberikan air jika mereka masih sedar.

“Rawatan perubatan perlu segera diperoleh sekiranya keadaan tidak bertambah baik atau menunjukkan tanda serius,” ulasnya lanjut.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar sentiasa mengikuti maklumat terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia kerana maklumat ini boleh membantu dalam merancang aktiviti harian dan mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas melampau.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Filza berkata, USM juga boleh mengambil langkah proaktif seperti menyediakan kawasan teduhan atau laluan pejalan kaki yang berbumbung, akses mudah kepada air minuman serta mempertimbangkan pelarasan jadual aktiviti luar bagi menjaga kebajikan warga kampus dan mengurangkan pendedahan kepada suhu tinggi.

Dalam menghadapi cuaca panas yang semakin mencabar ini, Ahmad Filza turut menyeru masyarakat dan warga USM agar sentiasa peka terhadap keadaan diri, menjaga hidrasi dan mengurangkan pendedahan kepada persekitaran yang panas.

“Pencegahan awal adalah kunci utama untuk mengelakkan risiko strok haba,” ujarnya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

 

  • Created on .
  • Hits: 561