USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Jun 2021 – “Orang ramai terutamanya waris serta pesakit yang mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dinasihat agar bersikap jujur semasa mengisi ‘Deklarasi Risiko COVID-19’ bagi mengurangkan jangkitan virus COVID-19 dalam fasiliti perawatan pesakit,” demikian rayu Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital USM, Dr. Alwi Muhd Besari.
Menurutnya, sejak pandemik COVID-19 melanda, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut di seluruh dunia. Di Malaysia sendiri, semua pihak turut memainkan peranan bagi melandaikan lekuk kenaikan kes harian sejak setahun lalu. Pengurusan Hospital USM juga tidak terkecuali mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk melaksanakan arahan ‘TIADA PELAWAT’ dibenarkan untuk melawat pesakit.
Tambah Alwi, bagi mengelak jangkitan silang terus menular dalam fasiliti perawatan pesakit terutamanya di dalam wad, pihak pengurusan telah mengeluarkan arahan menyeluruh memperketatkan polisi peneman pesakit iaitu dihadkan bagi kes-kes tertentu sahaja seperti pesakit kanak-kanak kecil, kes pesakit tidak berdaya fizikal (bed bound) serta pesakit yang memerlukan pemantauan dan bantuan pergerakan.
“Langkah ini amat bertepatan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 yang telah berlaku sebelum ini dan sebagai pengajaran bagi mengelak insiden berulang kes peneman pesakit menularkan jangkitan COVID-19 dalam kawasan perawatan (wad),” ujarnya ketika ditemubual.
Alwi berkata, mengambil contoh kes yang berlaku sebelum ini, di mana seorang pesakit bernama Rashidi (bukan nama sebenar) yang ditemani oleh anaknya Asrar (bukan nama sebenar) ditempatkan di salah satu wad bertujuan untuk mendapatkan rawatan akibat serangan strok dan memerlukan peneman kerana keadaan fizikal beliau yang tidak dapat bergerak.
“Setelah seminggu menemani bapanya mendapatkan rawatan di wad, Asrar mula menunjukkan gejala COVID-19 dan mendapatkan rawatan di Pusat Trauma dan Kecemasan.
“Hasil ujian calitan (swab test) yang dibuat, Asrar disahkan positif COVID-19. Berdasarkan keputusan ujian tersebut, pihak hospital terpaksa melakukan ujian calitan terhadap Rashidi dan beliau turut disahkan positif COVID-19. Ujian calitan juga dilakukan kepada empat (4) pesakit lain berhampiran Rashidi dan salah seorang daripada mereka turut positif COVID-19.
“Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan, virus dipercayai tersebar daripada jangkitan isi rumah Rashidi yang mana salah seorang ahli keluarga beliau baharu pulang dari kawasan kluster COVID-19 dan menjangkiti anaknya Asrar serta menyebabkan jangkitan silang terhadap pesakit dan peneman lain di wad yang sama,” ulas beliau lanjut.
Alwi turut menjelaskan bahawa, bagi mengelak insiden sebegini berulang, peneman pesakit disaran agar sentiasa jujur mengisi deklarasi dan bersedia untuk membuat deklarasi baharu sekiranya terdapat perubahan risiko bagi menjaga kemaslahatan pesakit lain di samping mengurangkan jangkitan silang COVID-19.
“Pihak pengurusan Hospital USM juga dalam proses meneliti semula prosedur kemasukan peneman pesakit dan mungkin akan mewajibkan peneman menjalani ujian ‘Antigen Rapid Test Kit’ (RTK-Ag) dengan memperoleh keputusan negatif (dalam tempoh 72 jam) sahaja diberi kebenaran masuk untuk meneman pesakit tertakluk kepada perkembangan semasa dan kepatuhan peneman serta jujur terhadap deklarasi," katanya lagi.
Beliau turut memohon kerjasamasa semua agar mana-mana individu yang berisiko atau sedang mengalami simptom berkaitan COVID-19 tidak datang ke Hospital USM sebagai peneman pesakit di dalam wad atau menemani pesakit yang mempunyai temujanji di klinik-klinik pakar.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.