Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KAEDAH INTERVENSI BANTU ANAK SINDROM DOWN TINGKATKAN POTENSI DIRI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 April 2021- Pelbagai kaedah intervensi awal boleh diikuti kanak-kanak yang mengalami sindrom down (SD) untuk meningkatkan potensi dan kefungsian mereka.

Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Siti Shaikhah Aziz, berkata, pertumbuhan yang lambat, lambat atau sukar dalam pembelajaran, lambat dalam pertuturan, masalah pendengaran dan penglihatan merupakan masalah kesihatan yang berkaitan SD.

“Jurupulih Carakerja memfokuskan kepada tiga komponen perkhidmatan untuk rawatan SD iaitu yang pertama, rangsangan perkembangan mengikut tahap umur yang merangkumi motor halus, motor kasar, integrasi sensori, sosial atau tingkah laku dan kemahiran kognitif. 

“Rawatan SD yang kedua pula adalah latihan penjagaan diri merangkumi kemahiran makan dan minum dengan sendiri dan kemahiran ke tandas manakala rawatan SD yang ketiga fokus kepada pendidikan atau pekerjaan yang melibatkan aktiviti pra-sekolah,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah dalam Seminar Virtual Sindrom Down Anak-anak Istimewa.

Menurut Shaikhah, kanak-kanak SD biasanya mempunyai masalah deria seperti sentuhan, ‘proprioceoptive’, ‘vestibular’ atau ‘balancing’ dan pakar terapi carakerja menggunakan prinsip integrasi deria untuk merawat masalah ini.

“Pendekatan terapi sensori integrasi membantu kanak-kanak sindrom down untuk mengawal tahap keterujaan selain dapat meningkatkan keupayaan mereka menjalankan aktiviti yang sedang dilakukan dengan baik.

“Pelbagai aktiviti dilakukan menerusi terapi ini seperti mengimbangi, memantul, berayun dan berpusing, aktiviti sentuhan seperti memberus, mengurut dan bermain doh manakala aktiviti motor lisan pula seperti meniup belon, minum menggunakan penyedut minuman dan mengunyah,” jelasnya lagi.

Tambah Shaikhah, kaedah intervensi lain yang boleh dilakukan kepada anak-anak SD ialah latihan kemahiran sosial iaitu bermain bersama kanak-kanak lain, berkongsi permainan, bermain dalam kumpulan dan menggalakkan komunikasi dalam kalangan kanak-kanak serta ahli keluarga.

Shaikhah turut menegaskan bahawa rawatan yang diberikan kepada anak-anak SD ini perlu dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan mereka merasa terpinggir dan diabaikan.

Teks: Siti Faizah Ismail (Pelajar Praktikal USIM) / Suntingan: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1240