Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KAMPUS KESIHATAN USM LAKSANA USAHA PROAKTIF BENDUNG PENULARAN DENGGI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 13 November 2025 – Penyakit demam denggi masih menjadi antara ancaman kesihatan utama di negara kita. Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peningkatan kes denggi terus dilaporkan dari semasa ke semasa terutama apabila berlaku musim hujan yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes. Walaupun ancaman ini nampak kecil, namun kesannya amat besar kerana boleh mengancam kesihatan dan meragut nyawa.

1000198207

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Univerisiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail, berkata, sebagai institusi kesihatan dan akademik, seluruh warga kampus perlu memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kesihatan awam negara.

“Saya yakin inisiatif kecil di peringkat kampus seperti gotong-royong, kempen kesedaran dan aktiviti pendidikan kesihatan dapat menyumbang kepada usaha besar membanteras denggi di peringkat nasional.

1000198208

“Saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa tanggungjawab ini bukan hanya milik KKM semata-mata, tetapi ia adalah amanah bersama yang perlu kita pikul dengan rasa tanggungjawab,” katanya ketika merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Perangi Aedes Peringkat Kampus Kesihatan USM, hari ini.

1000198209

Tambah Shaiful, setiap warga kampus perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kawasan kediaman, tempat kerja dan persekitaran agar bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Usaha mencari dan memusnahkan semua tempat pembiakan nyamuk perlu dipergiatkan.

1000198217

“Pastikan tiada air bertakung, bersihkan kawasan sekitar dan jadikan amalan kebersihan ini sebagai budaya hidup seharian bukan hanya ketika ada program sebegini sahaja,” ujarnya lagi.

1000198211

Menurut beliau, USM bukan sekadar pusat ilmu tetapi juga harus menjadi contoh kepada masyarakat dalam membudayakan gaya hidup sihat, menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

1000198212

“Program seperti ini jelas mencerminkan komitmen USM dalam menjayakan aspirasi Kampus Hijau dan Kampus Sejahtera selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 3 (Good Health and Well-being) dan SDG 11 (Sustainable Cities and Communities),” jelasnya.

1000198213

Shaiful turut berbangga dan berpuas hati melihat usaha dan semangat gotong-royong serta kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kampus.

1000198214

“Semangat kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan komuniti kampus kita. Apabila kita bergerak seiring dan sepakat, setiap usaha kecil akan memberi impak besar kepada kesejahteraan bersama.

1000198215

“Saya berharap agar aktiviti seperti ini bukan sekadar membersihkan kawasan secara fizikal, tetapi turut menyemai kesedaran mendalam tentang kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan persekitaran secara berterusan.

1000198216

“Jadikan gotong-royong ini sebagai permulaan kepada perubahan sikap dan budaya kerja yang lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran,” katanya lagi.

1000198210

Turut menyertai gotong-royong perdana ini ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Pengarah Institut Penyelidikan dan Perubatan Molekul, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Noor Hayati Mohammad; Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamdan Tahir, Noraida Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Tempat Pembiakan Nyamuk dan Haiwan Perosak, Dr. Suhaily Mohd Hairon dan Ketua Program Gotong-Royong Perdana Perangi Aedes Peringkat Kampus Kesihatan USM, Shahrim Nizam Abdullah.

Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Unit Fotografi UKAST

  • Created on .
  • Hits: 169