Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KAMPUS KESIHATAN USM SEDIA BENTUK GENERASI PROFESIONAL KESIHATAN MASA HADAPAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 September 2026 – Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) terus memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran pendidikan dan pembangunan mahasiswa yang mampu melahirkan generasi profesional kesihatan berilmu, berkemahiran serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata kemasukan pelajar baharu ke Kampus Kesihatan bagi Sidang Akademik 2026/2027 menjadi titik permulaan kepada perjalanan mereka untuk membina pengetahuan, kemahiran dan jati diri sebelum melangkah ke alam profesional.

“Seramai 690 pelajar ditawarkan untuk mendaftar di Kampus Kesihatan pada kali ini dan kemasukan saudara dan saudari bakal menyumbang kepada pengembangan bidang-bidang kritikal dalam sains kesihatan, perubatan dan pergigian yang menjadi antara tunjang penting dalam penyediaan tenaga profesional serta perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2026/2027 di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Menurut beliau, pelajar baharu perlu memanfaatkan sepenuhnya ekosistem pembelajaran dan pembangunan mahasiswa yang disediakan universiti dengan melibatkan diri dalam aktiviti akademik, persatuan dan pertubuhan pelajar, kesukarelawanan, sukan, kebudayaan, mobiliti antarabangsa serta inovasi.

“Pengalaman di universiti bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut menjadi ruang untuk mahasiswa mengenali potensi diri, membina jaringan, belajar daripada pengalaman dan mempersiapkan diri menghadapi cabaran masa hadapan.

“Dunia pekerjaan pada hari ini memerlukan graduan yang tangkas, cekap menyelesaikan masalah serta mampu bekerja merentas disiplin dan budaya.

“Justeru, gunakanlah peluang yang ada untuk membina kemahiran dan pengalaman yang dapat melengkapkan saudara dan saudari sebagai graduan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, USM turut memberi perhatian terhadap kesejahteraan mahasiswa dengan menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk bantuan kewangan, zakat, penginapan, kesihatan, kaunseling serta bantuan khusus kepada mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dan Siswa SULUNG.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa supaya menggunakan media sosial secara beradab dan bertanggungjawab serta sentiasa bijak menilai kesahihan maklumat bagi menjaga reputasi diri, keluarga dan universiti.

“Penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, kemahiran Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global serta penguasaan bahasa tambahan juga penting dalam membolehkan mahasiswa memperluas jaringan dan pengalaman di peringkat antarabangsa.

“USM mahu melahirkan graduan yang bukan sekadar menunggu peluang pekerjaan, tetapi berani mencipta peluang melalui keusahawanan, inovasi dan perusahaan sosial yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta komuniti setempat,” ujarnya lagi.

Menurut Abdul Rahman, sebagai sebuah universiti yang terus mencipta pencapaian di peringkat antarabangsa, USM turut memberi penekanan terhadap kelestarian, inovasi dan pembangunan masyarakat sebagai sebahagian daripada budaya universiti.

“Kelestarian di USM bukan sekadar program, tetapi merupakan sebahagian daripada amalan dan budaya warga universiti.

“Kita mengamalkan penggunaan sumber secara berhemah, memelihara alam sekitar serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.

Mengakhiri amanat, Abdul Rahman menyeru pelajar baharu agar berani mencuba, tidak takut kepada perubahan serta menghargai pengorbanan ibu bapa dan keluarga sepanjang menempuh alam pengajian.

“Datanglah ke USM dengan impian dan pulanglah nanti dengan ilmu, nilai, keberanian serta tekad untuk memimpin perubahan, selaras dengan moto USM, Kami Memimpin,” katanya.

Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2026/2027 menjadi platform bagi menyambut kehadiran pelajar baharu ke Kampus Kesihatan USM, di samping memberikan pendedahan mengenai ekosistem pembelajaran, pembangunan mahasiswa dan nilai yang menjadi asas perjalanan mereka sebagai warga USM.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datin Dr. Noor Hazlina Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Habibah A Wahab; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail; Penasihat Undang-undang USM, Dato' Dr. Khairul Anuar Che Azmi; Pengarah Hospital Pakar USM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani dan Dekan-dekan Pusat Pengajian Kampus Kesihatan USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 146