KANAK-KANAK SINDROM DOWN MAMPU BERJAYA JIKA DIBERI PELUANG LATIHAN DAN PEKERJAAN BERSESUAIAN
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 April 2021 – Sempena Hari Sindrom Down Sedunia 2021, komuniti anak-anak istimewa yang menghidap Sindrom Down (SD) telah berpeluang mengikuti Seminar Virtual SD yang diadakan secara maya melalui platform webex dan Facebook bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai SD.
Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan dengan kerjasama Pusat Genom Manusia, Jabatan Perubatan Keluarga, Persatuan Genetik Manusia Malaysia dan Persatuan Perubatan Keluarga USM (FAMOUS) menganjurkan seminar ini bertujuan memberi manfaat dan pengetahuan kepada masyarakat dan keluarga yang mempunyai anak-anak SD.
Menurut Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM), Syed Yusof Syed Kechik, penganjuran seminar ini diharap dapat menyebarkan peluang-peluang latihan serta pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap kemampuan kanak-kanak SD.
“Seminar ini juga memberi fokus untuk memperbaharui hubungan dalam memastikan semua individu yang mempunyai SD boleh berhubung serta mengikuti perkembangan semasa setara dengan orang lain.
“Kanak-kanak SD sebenarnya mempunyai kemahiran yang baik dalam menguruskan diri selepas diberi pendedahan dan bantuan," ujarnya.
Tambah Syed Yusof, program seumpama ini juga dapat memberikan pengetahuan mengenai genetik dan SD, intervensi awal kepada anak-anak SD serta pontensi selain membantu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak istimewa.
"Program ini juga dapat membantu ibu bapa atau penjaga merancang hala tuju anak-anak istimewa mereka dengan kerjasama badan-badan NGO dan badan komuniti lain dalam merangka, menggubal dan melaksanakan aktiviti lain yang bersesuaian untuk mereka.
“Selain itu, saya percaya bahawa program ini dapat memberi pendedahan kepada ibu bapa tentang cara untuk menjaga anak-anak istimewa serta sokongan untuk mereka menghadapinya dengan tabah kerana ibu bapa yang mempunyai anak SD pada peringkat awalnya lebih cenderung merasa takut, marah dan tidak dapat menerima kenyataan," jelasnya lagi.
Syed Yusof berkata, dalam memastikan anak-anak SD ini berjaya mengikuti peredaran, Unit Transformasi OKU dengan kerjasama dan sokongan pelbagai pihak terutama BJIM serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memulakan Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek sejak tahun 2012 dan program ini telah berjaya melatih seramai 64 orang OKU Intelek sehingga mendapat pekerjaan.
"Individu OKU dan Sindrom Down mempunyai hak yang sama seperti mendapat akses yang mencukupi dari segi rawatan kesihatan, program intervensi awal dan pendidikan yang diperlukan serta penyelidikan yang sesuai untuk kepentingan pertumbuhan dan perkembangan individu.
"Inisiatif yang dilaksanakan ini bertujuan untuk membantu golongan OKU dan Sindrom Down menjalani kehidupan sepenuhnya dalam komuniti kita," ujar beliau lanjut.
Teks : Wan Salizawati Wan Ismail
- Created on .
- Hits: 302