KANSER BUKAN PENAMAT: PENGESANAN AWAL TINGKAT PELUANG KESEMBUHAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 April 2026 – “Penyakit kanser bukanlah penamat hidup seseorang kerana kanser mempunyai rawatan,” demikian petikan ucapan Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani sempena Sambutan Hari Kesedaran Kanser 2026 yang berlangsung di Auditorium Perubatan Nuklear, hari ini.

Menurut beliau, pesakit kanser perlu terus mendapat sokongan daripada ahli keluarga agar mereka tidak berputus asa dalam menghadapi ujian penyakit tersebut.

“HPUSM sentiasa komited dalam membantu serta menyediakan rawatan terbaik kepada semua pesakit tanpa mengira latar belakang dan kemampuan kewangan.

“Penganjuran Sambutan Hari Kesedaran Kanser 2026 ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengesanan awal kanser selain usaha menggalakkan warga masyarakat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala,” katanya.

Ab Rahman Izaini turut menegaskan bahawa kanser masih merupakan antara cabaran kesihatan utama di peringkat global dan negara.
Tambahnya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 20 juta kes baharu kanser direkodkan pada tahun 2022 dan angka tersebut dijangka meningkat kepada hampir 30 juta menjelang tahun 2040.

“Di Malaysia, kira-kira seorang daripada 10 rakyat berisiko menghidap kanser sepanjang hayat mereka.
“Oleh itu, kesedaran awal serta pengesanan awal amat penting dalam mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini.
“Lebih 40 peratus (%) kes kanser sebenarnya boleh dicegah atau dikesan pada peringkat awal melalui amalan gaya hidup sihat serta pemeriksaan kesihatan secara berkala,” ujarnya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pesakit yang dikesan pada peringkat awal mempunyai peluang kesembuhan yang jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mendapatkan rawatan pada tahap lewat.
“Semua pihak termasuk petugas kesihatan, pesakit, ahli keluarga dan masyarakat umum perlu memainkan peranan sebagai agen penyampai maklumat berkaitan kepentingan saringan awal penyakit kanser.
“Usaha berterusan perlu dipergiatkan bagi memastikan masyarakat mendapat akses kepada maklumat yang tepat serta perkhidmatan saringan kesihatan yang lebih meluas,” jelasnya.

Mengakhiri ucapan, Ab Rahman Izaini berharap program seumpama ini dapat terus menjadi platform berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat serta memberi inspirasi kepada pesakit kanser untuk terus berjuang menjalani rawatan.
Sambutan Hari Kesedaran Kanser 2026 merupakan hasil kerjasama Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi HPUSM dan East Coast Oncology Society (ECOS), dengan matlamat memperkukuh kesedaran serta meningkatkan sokongan terhadap pesakit kanser dalam kalangan masyarakat.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan pelbagai pengisian termasuk sesi perkongsian ilmu, pameran kesihatan serta aktiviti kesedaran yang melibatkan komuniti setempat.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 434