Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KAYUHAN AMAL 'FUNRIDE' 2023 BANTU PROMOSI TABUNG WAKAF TUNAI MAIK-KAMPUS KESIHATAN USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 4 November 2023 - Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kelab Basikal USM dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK) serta Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah menganjurkan Program Kayuhan Amal Wakaf Kesihatan 'Funride' 2023 bagi mempromosi Tabung Wakaf Tunai Maik-Kampus Kesihatan USM, hari ini.

IMG 20231104 WA0030

Program yang diadakan bersempena bulan wakaf peringkat negeri Kelantan ini disertai hampir 100 peserta terdiri daripada warga Kampus Kesihatan USM dan masyarakat setempat mengambil bahagian dalam kayuhan basikal sejauh 30 kilometer.

IMG 20231104 WA0028

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, program ini merupakan salah satu usaha untuk merancakkan lagi aktiviti wakaf di negeri Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya.

IMG 20231104 WA0029

“Ia dilihat mampu meningkatkan promosi Tabung Wakaf Tunai MAIK-Kampus Kesihatan USM kepada seluruh warga USM, penjawat awam, kakitangan swasta dan masyarakat selain meningkatkan dana dan bilangan pewakaf yang menyumbang secara tetap.

IMG 20231104 WA0026

“Selain itu, ia juga dapat memperkukuh kefahaman warga USM dan masyarakat terhadap impak amalan berwakaf,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian program itu di perkarangan Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM.

IMG 20231104 WA0025

Menurut Shaharum, sejak pelancaran tabung wakaf pada tahun 2021, MAIK dengan kerjasama USM akan menguruskan aktiviti kutipan, penggunaan dan pelaburan selaras dengan tujuan penubuhan tabung tersebut.

“Ini termasuk pembiayaan pembangunan keilmuan, pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan kebajikan pelajar Kampus Kesihatan USM di dalam dan luar negara.

IMG 20231104 WA0031

"Kaedah pelaburan akan mewujudkan satu bentuk instrumen kewangan yang lestari bagi menyokong perolehan fasiliti baharu di Kampus Kesihatan selain mengagihkan hasil kepada para penerima manfaat supaya wakaf tunai menjadi satu kebajikan seperti yang dikehendaki oleh pewakaf,” ujar beliau.

IMG 20231104 WA0032

Shaharum turut berharap agar program ini menjadi satu titik penting dalam usaha mempromosi projek wakaf selain merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam membantu menjayakan program kali ini.

“Terima kasih kepada pihak penaja program kali ini iaitu Uvest Sdn. Bhd., Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Dunia Daging Kelantan, Grand Riverview Hotel, H Elite Design Hotel, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad dan Wan’s Cycle Shop yang sudi menaja hadiah cabutan bertuah bagi menambah keceriaan kepada semua peserta," katanya.

IMG 20231104 WA0027

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Operasi) Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengerusi Kelab Berbasikal USM, Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Shafei; Penolong Pengarah JAWHAR, Nor Asmahan Abdul Kadir dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM merangkap Pengerusi Program, Amira Abdul Sattar@Ismail.

Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 494