KEBAJIKAN PELAJAR B40 TIDAK AKAN DIPINGGIRKAN – NAIB CANSELOR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2023 – “USM sentiasa prihatin nasib dan kebajikan mereka yang berada dalam tahap kemiskinan atau B40. Usah malu jika anda berada dalam kumpulan ini kerana peluang untuk berjaya terbuka sama rata kepada semua pelajar,” demikian kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Menurut Abdul Rahman, para pelajar perlu bersedia untuk tampil mengambil setiap peluang yang ada, bertemu dengan pihak yang bersedia membantu seperti pegawai di Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Pusat Islam dan Kaunselor di Unit Kaunseling serta mengambil bahagian dalam pelbagai program yang diadakan oleh universiti secara aktif. “USM juga menyediakan pelbagai fasiliti untuk siswa-siswi. Ambillah kesempatan sepenuhnya dengan menyertai lebih 100 persatuan dan pertubuhan pelajar yang ada termasuk menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan yang sering dianjurkan oleh universiti.
“Manfaatkan kemudahan yang ada dengan sebaik mungkin kerana ia akan memberi pengalaman baharu untuk diterokai.
“Kampus Kesihatan juga telah berubah wajah kebelakangan ini kerana banyak kemudahan baharu disediakan termasuk bilik Majlis Perwakilian Pelajar (MPP) USM dan ruang ‘Learning Space’ untuk aktiviti pelajar dan padang bola Kopa Arena bertaraf antarabangsa yang baharu sahaja siap dibina,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2023/2024.
Tambah Abdul Rahman, Kampus Kesihatan juga berjaya menubuhkan Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) menempatkan lebih 200 spesimen manusia yang pertama seumpamanya di Malaysia.
"SPICES ini turut dilengkapi dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran berkonsepkan tiga dimensi serta pelbagai kelebihan lain yang dapat memberi pengalaman pembelajaran dinamik dan menarik kepada para pelajar.
"Gunakan kelebihan galeri yang dibangunkan dengan gabungan elemen sains dan seni ini untuk mengoptimumkan pengalaman pembelajaran anda bersama universiti ini," jelasnya lagi.
Abdul Rahman berkata, para pelajar sangat bertuah kerana dapat memasuki USM, satu-satunya universiti berstatus APEX di Malaysia.
"APEX adalah singkatan daripada Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau ‘Accelerated Programme for Excellence’ dan USM dipilih menjalani program ini pada tahun 2008 sebagai sebahagian dari Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi Negara.
"Fokus utama USM APEX ialah Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok atau ‘Transforming Higher Education for a Sustainable Tomorrow’.
"Banyak yang telah USM lakukan di bawah kerangka Universiti APEX termasuk program Kampus Sejahtera yang berperanan dalam mendidik komuniti kampus mengenai aktiviti kelestarian seiring dengan kredibiliti USM sebagai sebuah universiti yang memimpin hal-hal kelestarian," ulasnya.
Abdul Rahman turut berharap siswa-siswa baharu menjadi bakal pemimpin masa hadapan yang akan memimpin institusi, masyarakat dan negara dalam bidang kesihatan dan perubatan.
"Masyarakat dan negara memerlukan khidmat profesional anda semua dan manfaatkanlah sepenuhnya peluang yang ada semasa mengikuti pengajian.
"Bantulah universiti dalam menjayakan agenda kelestarian seperti tidak menggunakan bahan yang mengancam alam contohnya plastik dan polistirena, sentiasa berusaha berhati-hati dalam penggunaan sumber seperti air dan elektrik, menjaga kebajikan bersama, prihatin dengan nasib orang lain dan sentiasa membantu, mengelak berlakunya konflik dan krisis, menghormati satu sama lain, mempunyai semangat patriotisme dan cintakan tanah air serta pelbagai lagi," katanya.
Seramai 504 orang pelajar mendaftar diri di Kampus Kesihatan, USM bagi Sidang Akademik 2023/2024 dengan bilangan pelajar perempuan berjumlah 400 orang berbanding 104 orang pelajar lelaki.
Mereka merupakan sebahagian daripada 4,696 calon yang telah ditawarkan masuk ke USM dari sejumlah 60,161 calon yang memohon untuk menyambung pengajian di USM Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob, dekan-dekan serta timbalan-timbalan dekan; ahli-ahli senat universiti dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 388