KECEDERAAN OTAK TRAUMATIK BUKAN SEKADAR LUKA FIZIKAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Ogos 2026 – Kecederaan otak traumatik atau ‘Traumatic Brain Injury’ (TBI) bukan sekadar menyebabkan luka fizikal, malah turut memberi kesan besar terhadap kesihatan mental, fungsi kognitif dan kualiti hidup pesakit, sekali gus memerlukan pendekatan rehabilitasi yang menyeluruh.

Ahli Psikologi Klinikal yang juga Penyelidik Neurosains di Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Faizal Mohd Zulkifly berkata, TBI merupakan penyumbang terbesar kepada kes kecederaan otak diperoleh (Acquired Brain Injury – ABI), iaitu sebanyak 74 peratus (%) daripada keseluruhan kes.

“Kecederaan tersebut boleh berlaku akibat hentakan atau gegaran pada kepala seperti kemalangan jalan raya, terjatuh, kecederaan semasa bersukan atau dipukul objek tumpul, selain kecederaan kepala terbuka yang berlaku apabila objek seperti peluru atau serpihan logam menembusi tengkorak dan tisu otak.

"Di negara maju, kes TBI lebih banyak berpunca daripada insiden terjatuh dalam kalangan warga emas. Namun di Malaysia, kemalangan kenderaan bermotor merupakan penyebab utama, terutamanya melibatkan remaja dan golongan dewasa muda.

"Situasi ini memberi implikasi besar kerana pesakit berada pada usia produktif dan berisiko mengalami kecacatan fizikal, kemerosotan fungsi kognitif serta masalah kesihatan mental yang boleh menjejaskan kehidupan mereka dalam jangka panjang," katanya ketika ditemu bual.

Tambah beliau, perubahan struktur dan fungsi otak akibat kecederaan berupaya menjejaskan keupayaan berfikir, tingkah laku dan kawalan emosi, selain meningkatkan risiko kemurungan yang lazimnya berlaku dalam tempoh enam (6) hingga 12 bulan selepas mengalami TBI.

"Pesakit mungkin mengalami gejala seperti hilang harapan, rasa tidak bernilai, menarik diri daripada aktiviti sosial, gangguan tidur, keletihan serta pemikiran berkaitan kematian atau bunuh diri.

"Selain itu, perubahan personaliti seperti mudah marah, sensitif dan tingkah laku agresif juga boleh berlaku bergantung kepada bahagian otak yang mengalami kecederaan," jelasnya lagi.
Menurut Mohd Faizal, trauma yang dialami juga boleh menyebabkan gangguan stres pascatrauma apabila bahagian otak yang mengawal emosi terjejas, manakala kecederaan pada bahagian yang berkaitan memori boleh menyebabkan pesakit sering mengimbas kembali pengalaman traumatik dan mengelakkan situasi yang mengingatkan mereka kepada kejadian tersebut.

Mengulas mengenai rawatan, Mohd Faizal berkata, rehabilitasi kognitif merupakan antara intervensi penting bagi membantu pesakit mendapatkan semula fungsi otak yang terjejas, khususnya melibatkan aspek penumpuan, memori, fungsi eksekutif, bahasa serta kepantasan pemprosesan maklumat.
"Secara umumnya, terdapat dua (2) pendekatan utama dalam rehabilitasi kognitif, iaitu latihan semula yang bertujuan memulihkan fungsi kognitif melalui latihan berulang seperti latihan berkomputer dan rangsangan magnetik yang berasaskan prinsip neuroplastisiti seperti Transcranial Magnetic Stimulation (TMS).

“Pendekatan pampasan pula menggunakan strategi atau alat bantuan seperti aplikasi peringatan dalam telefon pintar serta nota sebagai sokongan kepada pesakit," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa antara cabaran utama dalam penyediaan perkhidmatan rehabilitasi kognitif di Malaysia ialah stigma terhadap masalah kesihatan mental, kekurangan sokongan keluarga, kesukaran pesakit menghadiri sesi terapi secara berkala serta kekurangan tenaga pakar dalam bidang neuropsikologi dan psikologi rehabilitasi.

“Saya berharap agar kesedaran masyarakat mengenai impak kecederaan otak traumatik dapat terus dipertingkatkan melalui pendidikan kesihatan dan perkongsian maklumat, di samping memperluaskan penggunaan teknologi moden seperti TMS, latihan berkomputer dan realiti maya bagi melengkapkan rawatan rehabilitasi konvensional.
"Pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan bukti mampu membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit TBI, sekali gus memastikan mereka mendapat sokongan kesihatan mental dan rehabilitasi kognitif yang lebih berkesan pada masa hadapan," katanya lagi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 261