USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Julai 2021 - "Sentiasa kekalkan momentum budaya kerja cemerlang dalam mendepani norma baharu", ujar Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail ketika menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2020 kepada staf Pusat Tanggungjawab (PTJ) Pengarah Kampus, di sini semalam.
Menurutnya, upacara ringkas yang diadakan itu bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada empat (4) staf PTJ Pengarah Kampus yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang dan komitmen kerja yang tinggi semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atas mereka sepanjang tahun 2020.
“Saya berharap agar pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini akan menjadi pembakar semangat kepada para penerima dalam memartabatkan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan seterusnya menjadi ‘role model’ dan mentor terbaik kepada warga kampus yang lain.
“Bermula tahun 2020, sistem gerak kerja dalam perkhidmatan di Universiti berubah sama sekali berikutan pandemik COVID-19 yang memerlukan semua warga kampus bersedia dalam mendepani norma baharu seperti amalan mesyuarat secara atas talian atau ‘online’, perkhidmatan dalam talian dan sebagainya,” ujarnya.
Shaiful turut menyeru semua warga kampus agar mempersiapkan diri dengan norma baharu dalam memastikan perkhidmatan di universiti tidak terjejas dan masih mementingkan kualiti kepada pelanggan.
“Dalam mempersiapkan negara untuk menjadi negara maju, kecekapan penyampaian perkhidmatan juga perlu diperkukuh agar ia berupaya menyokong produktiviti untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan di universiti kekal relevan pada masa kini,” jelasnya lagi
Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, seramai 448 orang staf Kampus Kesihatan USM pelbagai gred jawatan telah diperakukan oleh universiti untuk menerima APC bagi tahun 2020.
Teks / Foto: Mohamad Iqmal Mathlan