Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KELAHIRAN YANG MENGHAMPIRI KEMATIAN: LEGASI SEORANG WANITA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 April 2025 - Kelahiran lazimnya disambut dengan senyuman dan tangisan pertama si kecil menandakan satu permulaan baharu yang penuh harapan. Namun, bagi sebahagian wanita, saat melahirkan bukan hanya tentang menyambut nyawa baharu, tetapi juga perjuangan menempuh detik genting yang hampir meragut nyawa mereka sendiri.

Di sebalik kegembiraan itu, tersembunyi kisah perjuangan yang jarang diceritakan. Ramai wanita terpaksa melalui saat getir semasa hamil, ketika bersalin atau selepas melahirkan anak yang merupakan cabaran menguji kekuatan tubuh, hati dan semangat. Mereka bukan sekadar menjadi ibu, tetapi juga pejuang yang bertarung dengan maut demi kehidupan anak mereka. Inilah kisah keberanian yang wajar dikenang dan dihargai.

1000133291

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Datin Dr. Norhayati Mohd Noor, dalam dunia perubatan, terdapat satu istilah yang jarang didengari iaitu morbiditi maternal yang teruk.

“Ia merujuk kepada wanita yang mengalami komplikasi serius semasa hamil, melahirkan anak atau dalam tempoh 42 hari selepas bersalin.

“Dalam kes yang lebih mencemaskan, apabila nyawa wanita itu hampir melayang tetapi dia berjaya diselamatkan, keadaan itu dikenali sebagai ‘maternal near miss’ atau hampir meninggal akibat komplikasi kehamilan.

“Wanita-wanita ini bukan biasa-biasa kerana mereka telah berdiri di ambang maut, namun kembali dengan semangat dan kekuatan yang luar biasa. Pengalaman getir itu bukan hanya menyakitkan tubuh, tetapi turut meninggalkan luka yang dalam di hati dan jiwa mereka,” katanya ketika ditemu bual.

1000133281

Tambah Norhayati, punca kejadian hampir meninggal ini sebenarnya mencerminkan sebab-sebab utama kematian ibu.

“Antara komplikasi yang paling kerap berlaku termasuklah pendarahan teruk selepas bersalin, tekanan darah tinggi semasa hamil seperti preeklampsia dan eklampsia, jangkitan serius seperti sepsis dan kecemasan obstetrik seperti rahim pecah akibat proses kelahiran yang sukar.

“Statistik menunjukkan bahawa hampir 70 peratus (%) kes morbiditi maternal yang teruk berpunca daripada pendarahan selepas bersalin terutamanya yang berkait dengan masalah plasenta.

“Inilah antara cabaran paling getir yang dihadapi oleh wanita ketika melahirkan dan ia tidak sepatutnya dipandang ringan,” ujarnya lagi.

1000133289

Beliau berkata, walaupun jarang didedahkan secara terbuka, kejadian hampir meninggal maternal sebenarnya jauh lebih kerap berlaku berbanding kematian ibu.

“Di peringkat global, kajian menunjukkan kira-kira 0.4% daripada kelahiran melibatkan komplikasi serius yang hampir meragut nyawa ibu berdasarkan definisi disfungsi organ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Namun, jika digunakan definisi yang lebih longgar, angka ini boleh meningkat kepada antara 0.6 hingga 15%, terutama di kawasan yang kurang kemudahan dan sokongan kesihatan.

“Ini bermakna, ramai wanita telah melalui detik yang sangat genting, namun kisah mereka sering terlepas pandang dalam statistik dan perbincangan umum,” jelasnya.

1000133285

Norhayati turut memaklumkan bahawa Malaysia memiliki sistem penjagaan kesihatan ibu yang agak baik, namun cabaran masih lagi wujud.

“Statistik menunjukkan bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, terdapat 2.2 kes wanita yang hampir kehilangan nyawa (maternal near miss) dan 18 kes mengalami komplikasi serius (morbiditi maternal teruk).

“Angka ini bukan sekadar nombor dan ia mewakili wanita-wanita yang telah berjuang nyawa demi melahirkan zuriat mereka.

“Walaupun perkhidmatan obstetrik mudah diakses, realitinya masih ramai ibu yang menghadapi risiko besar dan ia mengingatkan kita bahawa keselamatan wanita sepanjang kehamilan dan kelahiran bukan sesuatu yang boleh diambil ringan kerana ia adalah perjuangan yang perlu disokong oleh sistem, masyarakat dan semua pihak,” ulasnya lanjut.

1000133283

Norhayati yang juga penulis buku ‘Traumatic Childbirth: Near Miss and Morbidities’ turut menjelaskan bahawa isu morbiditi maternal sebagai isu senyap yang seolah-olah tidak kelihatan walaupun kesannya begitu besar.

“Kita sering memberi tumpuan kepada mengurangkan kadar kematian ibu, tetapi terlupa bahawa di sebalik setiap kematian, ada ramai wanita lain yang terselamat dan hal ini terus menghantui kehidupan mereka.

“Mereka mungkin hidup, tetapi mereka tidak lagi sama seperti dulu,” terangnya.

1000133287

Jelas beliau, salah satu sebab mengapa isu hampir meninggal maternal ini jarang diketengahkan adalah kerana dahulunya ia tidak mempunyai definisi yang jelas.

“Sehingga tahun 2011, tiada satu pun garis panduan standard yang digunakan untuk mengenal pasti wanita yang pernah berada di ambang maut semasa hamil atau bersalin.

“Tanpa definisi, suara mereka seakan hilang daripada data dan akhirnya, WHO tampil menetapkan kriteria dan garis panduan yang jelas, membolehkan kes-kes ini dikenal pasti, dikaji dan dibandingkan secara menyeluruh di seluruh dunia.

“Barulah kisah para wanita yang berjuang antara hidup dan mati ini mula mendapat tempat dalam peta kesihatan global,” katanya.

1000133293

Norhayati berkata, apabila seorang wanita melalui detik hampir maut semasa melahirkan, kesannya bukan sekadar pada tubuh tetapi turut mempengaruhi seluruh hidupnya.

“Minggu-minggu pertama selepas bersalin menjadi amat mencabar kerana mereka sering berdepan keletihan yang melampau, kesakitan yang berpanjangan, luka yang lambat sembuh, malah ada yang mengalami kerosakan organ kekal seperti kegagalan buah pinggang.

“Aktiviti harian yang dahulunya mudah kini menjadi amat sukar. Menyusukan bayi, mengurus rumah dan menjaga anak, semuanya terasa berat, meletihkan dan kadangkala mematahkan semangat.

“Dalam saat-saat ini, sokongan daripada pasangan dan keluarga bukan lagi pilihan, tapi satu keperluan yang sangat penting untuk mereka bangkit semula,” katanya.

1000133295

Lebih menyayat hati, menurut Norhayati, trauma yang ditinggalkan oleh pengalaman bersalin ini bukan hanya pada tubuh, tetapi merobek jiwa.

“Ramai wanita yang mengalaminya melaporkan perasaan cemas yang luar biasa, kesedihan yang mendalam, bahkan kemurungan pasca bersalin.

“Ada juga yang berdepan dengan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), di mana kenangan pahit bersalin kembali menghantui mereka, atau rasa takut setiap kali memikirkan kehamilan seterusnya,” jelasnya.

Norhayati turut menyeru masyarakat agar tidak mengambil ringan masalah yang dihadapi oleh wanita yang mengalami trauma selepas bersalin.

“Mereka memerlukan sokongan fizikal dan mental yang kuat untuk meneruskan hari-hari mendatang dan melupakan kisah kelahiran yang hampir meragut nyawa itu.

“Bertepatan dengan tema Hari Wanita tahun ini, “Wanita Beraspirasi Membina Legasi”, kita harus ingat bahawa legasi itu tidak hanya terbangun daripada pencapaian besar, tetapi juga wanita yang bangkit semula setelah di ambang maut, terus memberi cahaya dan kehidupan kepada keluarga serta masyarakat,” katanya mengakhiri temu bual.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 376