Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KEPAKARAN USM BANTU USAHA BASMI KETAGIHAN KETUM

PASIR PUTEH, KELANTAN, 3 Mei 2023 – Ketagihan ketum semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat Kelantan terutama di Pasir Puteh yang merupakan salah satu daerah yang mempunyai banyak kes penanaman pokok ketum, penjualan air ketum dan penagihan ketum. 

6d3c2e12 4bad 4447 9263 323268f3ecb8
 
Situasi ini amat berbahaya kerana masih ramai yang tidak tahu akibat buruk ketagihan ketum terutama golongan remaja yang baru berjinak-jinak dengan air ketum. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana penagihan ketum adalah berbahaya untuk kesihatan serta boleh mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat. 
 
 
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Jabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, hari ini mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Bahaya Penagihan Ketum bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Selising.
 
5deb81d1 6123 4050 b9da 1c56db294a15
 
Menurut Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital USM, Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria, sebagai sebuah universiti awam, USM sentiasa mendokong aspirasi untuk meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan masyarakat.
 
“Penganjuran Seminar Bahaya Penagihan Ketum merupakan usaha murni USM dalam aspek pemindahan ilmu kepakaran dan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya para pelajar tentang bahan-bahan bahaya yang terkandung dalam air ketum yang boleh memudaratkan kesihatan. 
 
80cb1ee3 76be 441d 934e b46d05daf319
 
“Kesedaran perlu diberikan pada peringkat awal iaitu kepada pelajar kerana pada peringkat ini mereka suka untuk mencuba sesuatu yang baharu kerana mereka tidak tahu mengenai bahan-bahan yang terkandung dalam minuman ketum yang mana bersifat psikoaktif dan boleh menyebabkan ketagihan seperti ‘mitragynine’, ‘mitaphylline’ dan sebagainya,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian seminar tersebut.
 
 
Sementara itu, Ketua Jabatan Farmakolgi, PPSP, USM, Dr. Wan Nazirah Wan Yusuf, pula menjelaskan bahawa statistik Hospital USM menunjukkan kes urin positif ketum semakin meningkat setiap tahun. 
 
ec3f20ff 9601 4b77 be21 955389635502
 
“Ujian air kencing bagi mengesan seseorang itu mengambil ketum dijalankan melalui kaedah ‘Thin Layer Chromatography’ (TLC) dan Hospital USM merupakan satu-satunya hospital yang melaksanakan kaedah ujian pengesanan ketum setakat ini di Pantai Timur.
 
 
“Pengambilan ketum secara berlebihan dan campuran bahan dalam minuman ketum seperti ubat nyamuk amat berbahaya kepada kesihatan,” ujarnya.
 
8c95bb68 1c12 477c bf5c 01deb4426bbb
 
Tambah Wan Nazirah, selain sawan, kesan lain seperti halusinasi, mengantuk dan cepat marah turut dialami bergantung kepada jumlah pengambilan air ketum tersebut. 
 
 
“Semua pihak perlu memainkan peranan untuk mencegah masalah ini dan langkah pencegahan pada peringkat awal seperti memberi kesedaran dan pendedahan tentang bahaya ketum kepada pelajar sekolah menengah adalah platform terbaik.
 
4c9c4871 b6b9 4107 bfc7 a84d19331b2f
 
“Hal ini dapat mengurangkan aktiviti penagihan dan membenteras gejala ini daripada terus merebak dalam kalangan remaja sehingga menjejaskan masa depan mereka,” jelas beliau.
 
489c531a f8ed 4ef4 a9ff 78d0ae402efd
 
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa, Abdul Aziz Abdul Hamid; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Pasir Puteh, Asisten Superintendan Syed Rahayat Syed Mohd Ramle; wakil AADK, Kota Bharu, Muhamad C Ismail dan Pengarah Program Seminar Bahaya Penagihan Ketum, Dr. Norzila Ismail.
 
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
  • Created on .
  • Hits: 295