KEPENTINGAN MENJAGA KESIHATAN MENTAL DAN ALAM SEKITAR UNTUK LAHIRKAN GENERASI SIHAT
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Jun 2024 - Kelestarian alam sekitar dan kesihatan mental adalah dua (2) komponen utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha melahirkan generasi yang sihat.
Atas kesedaran itu, Mentor Rakan Siswa (MRS), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkolaborasi dengan sekretariat ‘Environmental Occupational Safety and Health’ (EOSH) menganjurkan MRS-ECO Fiesta 2024 yang bermula semalam dan berakhir hari ini di Dewan Utama, Kampus Kesihatan.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, kesihatan mental yang baik membolehkan individu berfungsi secara optimum dalam kehidupan seharian manakala kelestarian alam sekitar adalah untuk memastikan persekitaran sentiasa terpelihara.
“Kesihatan mental merupakan komponen utama dalam kesejahteraan keseluruhan kehidupan seseorang individu, tanpa kesihatan mental yang baik, kita mungkin menghadapi kesukaran dalam mengatasi cabaran kehidupan dan mengekalkan hubungan yang sihat dengan orang di sekeliling.
“Begitu juga kelestarian alam sekitar yang merupakan tanggungjawab bersama, maka kita perlu sedar bahawa tindakan yang tidak rasional pada hari ini akan mewujudkan kesan buruk kepada dunia yang akan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut, hari ini.
Beliau berkata, kesihatan mental dan kelestarian alam sekitar tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya saling melengkapi kerana alam sekitar yang sihat dan lestari boleh memberi kesan positif kepada kesejahteraan mental.
“Saya percaya program yang diadakan dengan pelbagai pendedahan berguna dapat mengubah persepsi dan stigma masyarakat terhadap kesihatan mental dan sangat penting untuk kita semua memahami bahawa menjaga kesihatan mental adalah sama penting dengan menjaga kesihatan fizikal.
“Saya berharap agar segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi sepanjang program ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian,” ujarnya lagi.
Sementara itu, salah seorang pengunjung program yang ditemu bual, Nurul Shazwani Shah Asri, 22, berkata, sebagai pelajar di bawah program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), program dua (2) hari yang diadakan ini memberi impak yang baik apabila turut menonjolkan pameran daripada Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu DiRaja (21 RAMD) yang jarang dipamerkan sebelum ini.
“Satu pendekatan yang baik apabila kita turut didedahkan dengan pameran yang membawa kepada dunia realiti dan kami tidak hanya belajar di pusat pengajian masing-masing, malah turut mengetahui cabaran dunia luar serta cara mengendalikannya apabila kami bekerja kelak,” katanya.
Seorang lagi mahasiswa yang ditemui, Nurin Hanisah Ahmad Nazri, 25, berkata, aktiviti larian neon yang diadakan malam tadi cukup menarik di samping mewujudkan suasana sihat apabila dapat mengeluarkan peluh selain menghilangkan stres belajar.
“Saya amat teruja mengikuti program kali ini kerana pelbagai pengisian menarik diketengahkan seperti pameran penjagaan kesihatan, pameran alam sekitar, pertandingan inovasi, larian, ceramah, cara-cara pengurusan stres dengan permainan ‘Mobile Legends’ dan penghasilan video kreatif,” jelasnya.
Turut hadir ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria; Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan merangkap Penasihat Sekretariat EOSH, Dr. Nurul Izzah Abdul Samad; Ketua Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling, Keusahawanan, Kerjaya dan Alumni merangkap Penasihat Sekretariat MRS, Kampus Kesihatan, Mohd Norzulhairie Othman dan Pengarah Program MRS- ECO Fiesta 2024, Tengku Fareesha Ameera Tengku Mohd Fazlisham.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusofff / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 750