KERJASAMA USM DAN UNSOED PACU KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN PERGIGIAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Fakulti Perubatan, Jabatan Pergigian, Universitas Jenderal Soedirman (UNSOED), Indonesia dalam satu majlis yang diadakan di Bilik Persidangan PPSG, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut disempurnakan oleh Dekan PPSG USM, Profesor Dr. Norhayati Luddin mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) PPSG USM, Dr. Fadzlinda Baharin bagi pihak USM manakala UNSOED pula diwakili Dekan Fakulti Perubatan UNSOED, Dr. Dr. M. Mukhlis Rudi Prihatno dan Ketua Program Pengajian Pergigian, Dr. Drg. Haris Budi Widodo.

Menurut Norhayati, penandatanganan MoU ini menandakan satu lagi detik penting dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara USM dan UNSOED, khususnya dalam bidang sains pergigian dan pendidikan kesihatan.

“Perjanjian ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan akademik, inovasi dan jaringan antarabangsa dalam pendidikan tinggi.
“Melalui kerjasama ini, kita dapat membina jambatan kukuh yang membuka ruang perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti dan penemuan bersama yang akan memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik serta komuniti,” ujarnya.

Tambah Norhayati, USM dan UNSOED juga bersetuju untuk bekerjasama dalam beberapa bidang utama termasuk pertukaran pelajar dan staf, program akademik bersama, penyelidikan dan pembangunan kolaboratif, penganjuran bengkel dan latihan profesional serta pertukaran penerbitan dan bahan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bidang baharu yang boleh membawa manfaat bersama dari semasa ke semasa.

“Semoga jalinan ini menjadi asas kepada inisiatif berimpak tinggi, sinergi akademik yang lebih erat serta kejayaan berterusan pada masa hadapan,” katanya lagi.

Sementara itu, Mukhlis Rudi pula berkata, kerjasama ini diharap akan memperkukuh lagi hubungan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua universiti serta memperluas jaringan antarabangsa USM dalam bidang sains pergigian di rantau Asia.

“Semoga kerjasama ini berterusan dan lebih banyak kolaborasi lain lagi dicapai antara USM dan UNSOED pada masa akan datang,” jelasnya.

Turut hadir ialah Penyelaras MoU antara USM dan UNSOED, Dr. Nurhafizah Ghani dan pasukan penyelidik serta delegasi dari UNSOED, Indonesia.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 327