KESEJAHTERAAN MENTAL BUKAN ISU SAMPINGAN, TETAPI KEUTAMAAN - PENGARAH KAMPUS KESIHATAN
MACHANG, KELANTAN, 1 November 2025 – “Kesejahteraan mental pada masa kini bukan lagi dianggap sebagai isu sampingan, tetapi telah menjadi antara tunjang utama kepada prestasi kerja, keberkesanan akademik, hubungan sosial yang sihat serta keseimbangan hidup secara menyeluruh lebih-lebih lagi dengan persekitaran yang semakin mencabar kini", demikian petikan ucapan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Program Sehati USM 2025 yang diadakan di Machang Riverview Campsite and Chalet sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan 2025 yang bertemakan Santuni Emosi, Sejahtera Insani.

Program berkenaan menghimpunkan seramai 43 orang peserta terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti luar seperti 'jungle trekking', 'survival cooking' serta aktiviti inovasi Kad Empati Kendiri yang bertujuan memupuk daya tahan mental dan meningkatkan kesedaran kendiri dalam mengurus kesejahteraan emosi.

Menurut Shaiful Bahari, amanah kerja dan tanggungjawab akademik sering menuntut masa, tenaga dan emosi, bukan sahaja dalam kalangan staf, tetapi juga para pelajar.
"Oleh itu, kesedaran terhadap kesejahteraan mental perlu terus disemai, diseimbangkan dan disokong oleh semua pihak.

“Tekanan, keletihan dan cabaran psikologi merupakan realiti yang tidak dapat dielakkan, namun dengan intervensi dan sokongan yang tepat, warga kampus mampu membina daya tahan mental serta mengurus tekanan secara sihat dan berkesan,” katanya.

Shaiful Bahari turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan kaunselor Kampus Kesihatan USM dan Hospital Pakar USM (HPUSM) atas komitmen menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang Bulan Kaunseling yang telah berjaya menarik penyertaan besar dalam kalangan staf dan pelajar.

“Saya difahamkan antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah platform sokongan ‘Family Support Group’ oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) menerusi aplikasi Telegram yang bertujuan menyediakan ruang interaksi dan bantuan psikososial kepada pelajar.

“Program interaksi bersama Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan PPSP turut mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi wadah perkongsian ilmu dalam mengurus kesejahteraan emosi,” ujarnya lagi.

Tambah Shaiful Bahari, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan turut memainkan peranan penting dengan menganjurkan Bicara Psikologi secara dalam talian dan menerbitkan dua (2) siri Bingkisan Psikologi untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental dalam kalangan warga kampus.

“Program seperti ini mencerminkan komitmen kita untuk terus membina komuniti kampus yang harmoni, berempati dan saling menyokong antara satu sama lain.

"Saya berharap semoga program seperti ini dapat diperluas dengan penyertaan lebih ramai pelajar dan staf pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar, Kampus Kesihatan USM, Noor Hayati Mohammad; Penolong Pendaftar Kanan menjalankan tugas Ketua Jabatan BHEPA, Kampus Kesihatan USM, Khairul Ithma Mahdi; Penggawa Desasiswa Murni dan Nurani USM, Dr. Nur Waliyuddin Hanis Zainal Abidin; Pengurus Kem Machang Riverview Campsite and Chalet, Muhammad Amin Nasrin Lofti dan Pengarah Program Sehati USM 2025, Mohd Norzulhairie Othman.
Teks: Muhamad Iqbal Bashah Ahmad Basha Ruddin /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman & Pasukan Kaunselor Kampus Kesihatan
- Created on .
- Hits: 221