KESIHATAN STAF DIUTAMAKAN: HPUSM LANCAR INISIATIF HEALTHY-U@HPUSM>
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Ogos 2025 – “Sek kito pakat koya nak jadi sihat”, demikian seruan penuh semangat Pengarah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dato’ Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani, yang bergema di Auditorium Blok Pentadbiran hari ini sempena peluncuran Projek Kelestarian Kesihatan Staf HPUSM (Healthy-U@HPUSM).

Menurut beliau, kesihatan staf memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti, memperkukuh kesejahteraan organisasi serta memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.
“Di Malaysia, lebih setengah juta atau 2.5 peratus (%) dewasa menghidap empat (4) penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu diabetes, hipertensi, hiperkolesterolemia dan obesiti.

“Penyakit-penyakit ini merupakan faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular (CVD) seperti penyakit jantung dan strok, sekali gus menyumbang kepada morbiditi serta mortaliti dalam kalangan penduduk dewasa termasuk golongan pekerja,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Antara objektif utama projek Healthy-U@HPUSM adalah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, mengesan awal faktor risiko serta penyakit kardiovaskular, menyediakan intervensi yang sesuai bagi mencegah komplikasi jangka panjang dan memperluas akses rawatan melalui konsultasi maya mahupun fizikal.

Ab Rahman Izaini turut menegaskan bahawa, pelaksanaan projek ini secara sistematik dan berterusan diyakini mampu meningkatkan tahap kesihatan warga kerja HPUSM.
“Staf yang sihat bukan sahaja lebih produktif, malah membentuk suasana kerja yang positif dan berkualiti.

"Usaha ini memberi manfaat bukan sekadar kepada individu, tetapi juga menyokong kelestarian perkhidmatan kesihatan yang kita sampaikan kepada masyarakat,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, platform terbaik di HPUSM ialah semangat kebersamaan yang wujud dalam kalangan warga kerja.

“Kita mahu semua staf terlibat dalam aktiviti riadah, saling menyokong serta menjaga kesihatan bersama-sama.
"Inisiatif seperti penyediaan gimnasium di HPUSM dan pemeriksaan kesihatan awal akan membantu mengesan penyakit dengan lebih cepat,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha ini turut melibatkan pembangunan kemudahan riadah yang patuh syariah dan mesra staf, di samping menggalakkan budaya hidup sihat melalui pelbagai aktiviti kecergasan.
Ab Rahman Izaini turut menyeru seluruh warga kerja HPUSM agar menyambut baik inisiatif berkenaan dengan penuh komitmen serta menjadikannya sebagai budaya kerja berterusan yang menekankan kesejahteraan holistik merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi.

“Tahniah kepada semua ‘sek kito hok pakat koya nak jadi sihat’ (semua staf yang bersemangat mahu menjadi lebih sihat).
"Inisiatif program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan individu, tetapi juga meningkatkan kualiti perkhidmatan yang kita sampaikan kepada masyarakat,” katanya lagi.


Turut hadir ialah, Timbalan Pengarah (Operasi) HPUSM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Timbalan Pengarah (Korporat dan Kelestarian) HPUSM, Profesor Dr. Hajah Shatriah Ismail.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 340