KHAMIS RIANG CERIA: PERKASA KESEJAHTERAAN PESAKIT SDH HPUSM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Mei 2025 – Sekolah Dalam Hospital (SDH) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) dan Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT) mengambil inisiatif melaksanakan program Khamis Riang Ceria bagi menceriakan pesakit kanak-kanak yang menerima rawatan di HPUSM.
Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif ‘3R - Rabu Riang Ria’ yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pesakit pediatrik di dalam wad sahaja dengan pendekatan lebih kreatif dan tersusun sebagai terapi sokongan kepada pesakit.
Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset) HPUSM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud yang mewakili Pengarah HPUSM berkata, para guru SDH HPUSM sangat komited dan kreatif dalam mengetengahkan pelbagai kaedah pembelajaran agar pesakit kanak-kanak tidak jemu dan putus asa untuk terus menimba ilmu walaupun sedang menghadapi ujian kesakitan.
“Saya amat menyokong pelaksanaan program Khamis Riang Ceria yang berfokuskan kepada kesejahteraan pesakit dijalankan secara berkala pada setiap hari Khamis minggu terakhir setiap bulan.
“Hal ini kerana aspek emosi dan psikologi pesakit perlu diberikan perhatian agar proses rawatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
“Tambahan pula, bagi pesakit kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, sokongan berterusan khususnya dalam bidang pendidikan amat penting supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran dan mampu bersaing apabila kembali ke sekolah nanti,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Guru dan pelancaran program Khamis Riang Ceria, hari ini.
Menurut Mohamed Ashraf, elemen hiburan yang digabungkan dengan pendekatan pendidikan kreatif mampu menjadi terapi sokongan yang berkesan dalam membantu proses penyembuhan.
“Inisiatif sebegini diharap dapat diteruskan dan diperluaskan, seterusnya memberi impak positif kepada kesejahteraan mental dan emosi pesakit cilik kita,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sejak SDH ditubuhkan di HPUSM pada tahun 2012, lebih 7,000 pesakit telah mengikuti sesi pembelajaran di hospital dengan jumlah kehadiran murid mencecah hampir 30,000.
“SDH menerima pelajar pelbagai peringkat bermula dari prasekolah seawal usia empat tahun hingga ke prauniversiti.
“Ia bukan sahaja memastikan kesinambungan pendidikan pesakit, malah turut menguruskan pelaksanaan peperiksaan awam bagi pelajar yang sedang menjalani rawatan,” jelasnya.
Mohamed Ashraf turut menzahirkan penghargaan kepada guru-guru SDH atas dedikasi dan kasih sayang membimbing murid belajar dalam suasana hospital, selari dengan tagline SDH Malaysia, Hati Nurani.
“Pada tahun lalu sahaja, seramai 14 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah mengambil peperiksaan di HPUSM dan apa yang lebih membanggakan, terdapat calon SPM yang memperoleh keputusan cemerlang A bagi semua matapelajaran yang diambil meskipun berdepan cabaran kesihatan.
“Kejayaan ini pastinya tidak terlepas daripada sumbangan besar para guru SDH yang telah menyantuni dan membimbing mereka, khususnya ketika mereka melalui fasa mencabar akibat masalah kesihatan,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu kepada pesakit kanak-kanak yang menghidap Thalasemia sejak tahun 2020, Salwati Mohd Kamaruzzaman, 36, menzahirkan rasa gembira apabila melihat anaknya menyertai program itu dan mampu tersenyum gembira walaupun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan kerana menerima rawatan setiap tiga (3) minggu di HPUSM.
“Sambutan sebegini sangat bermakna kerana ia mengembalikan kegembiraan kepada kanak-kanak yang sedang sakit. Saya amat berterima kasih kepada pihak HPUSM dan SDH,” ujarnya.
Program ini turut diserikan dengan persembahan silap mata oleh badut dari ‘The Pensil Candy Project’ yang menceriakan tetamu dan pesakit kanak-kanak.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Pentadbiran) HPUSM, Haji Mohd Saberi Mohd Yusoff; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Sekolah Jenis Khas Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Haji Muhammad Saufi Ibrahim; Ketua Perkhidmatan Pentadbiran dan Latihan Unit Klinikal, HPUSM, Dr. Tengku Mastura Tengku Mohd, dan Penyelia SDH HPUSM, Teo Seng Hue.
Teks: Rosalwani Che Soh & Nik Nur Khalisah Umairah Nik Mansur (Pelajar Latihan Industri UiTM)/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 110