Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

#KITAJAGAKITA SEPANJANG PKP, WARGA KERJA UNIT REKOD MENYERLAH

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 April 2020- "Menu menyelerakan dan suasana kekeluargaan bagaikan makan tengah hari di rumah sendiri merupakan rutin waktu makan tengah hari warga kerja Unit Rekod Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan", demikan ujar Penolong Pendaftar Kanan (Rekod Perubatan), Hasuaniza Hassan.

IMG 20200416 081844

Menurutnya, kedai makan dan restoran hanya menyediakan makanan berbungkus sahaja dan kami mulai bosan dengan menu jualan yang sama setiap hari.

"Justeru, kami putuskan secara sukarela bergilir-gilir memasak dan makan bersama waktu makan tengah hari.

"Hal ini lebih mengeratkan silaturahim sesama staf tanpa mengira pangkat kerana dapat duduk semeja makan sambil berbincang mengenai hal kerja," katanya.

IMG 20200416 081924

Sementara itu, Pengurus Operasi Unit Rekod Perubatan (URP) Hospital USM, Kamilah Beran pula berkata, inisiatif tersebut memberi impak yang baik kepada warga kerja unit berkenaan memandangkan URP beroperasi seperti biasa sepanjang PKP kerana urusan pendaftaran dan rekod pesakit.

"Kita sedia maklum, wabak COVID-19 mudah merebak. Apabila staf tidak perlu keluar mendapatkan sendiri makanan, secara langsung mereka tidak terdedah kepada risiko kontak dengan orang ramai yang berkemungkinan pembawa virus COVID-19.

IMG 20200416 081914

"Waktu makan tengah hari sepanjang PKP juga memberi ruang serta peluang kepada warga kerja pelbagai peringkat untuk bertemu mata dan berbincang pelbagai perkara dalam suasana santai serta secara tidak langsung, motivasi pekerja akan meningkat dan disusuli dengan peningkatan produktiviti kerja," jelasnya.

Tambah Kamilah, beliau juga sering memastikan staf makan secara bergilir-gilir dan mengamalkan penjarakan sosial serta hanya enam (6) orang staf sahaja dibenarkan berada di pantri dalam satu masa.

Teks/Foto: Amyrulhan Azhari

  • Created on .
  • Hits: 172