Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KOLABORASI MAMPAN BERSAMA RAKAN INDUSTRI, USM TERIMA SUMBANGAN ABP BERNILAI HAMPIR RM90,000

KOTA BHARU, KELANTAN, 17 Jun 2023 – Dua (2) syarikat pengeluar alat bantu pendengaran (ABP) berbesar hati menyumbang peralatan bernilai hampir RM90,000 kepada Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk pengajaran klinikal bagi memastikan integrasi teori kepada praktikal pelajar sentiasa terkini dan menggunakan teknologi ’artificial intelligence’ (AI).

Sebanyak 10 unit ABP jenama Phonak yang bernilai RM58,400 disumbangkan oleh Swiss Medicare Sdn. Bhd. dan dua (2) unit ABP termasuk ’assisstive listening devices' jenama Starkey yang bernilai RM28,000 disumbangkan oleh Best Hearing Aid Centre.

4a727f86 a3c3 433f 9bea b44a02336076

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, berkata, USM sangat berbesar hati menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat dan rakan industri bagi kelestarian pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan kepada pesakit dan komuniti setempat.

“Sebagai salah sebuah hospital pengajar universiti (HPU), USM amat menitikberatkan prasarana yang terdapat di klinik adalah terkini termasuk teknologi ABP yang dilihat sangat cepat berubah mengikut arus kemodenan.

fefbf97b 695b 4ce0 a746 b96bf8517255

“Oleh itu, pengajaran klinikal perlu sentiasa disokong oleh teknologi terbaharu yang ada di pasaran bagi memastikan integrasi teori kepada praktikal pelajar sentiasa terkini dan menggunakan teknologi AI dalam usaha memastikan kelestarian kualiti dan kecemerlangan pelajar," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Alat Bantu Pendengaran.

8061e0e8 8f41 4848 bc74 edf2f5e8d543

Menurut Shaharum, selain memberi faedah kepada pelajar, sumbangan ABP ini juga bermanfaat kepada pesakit yang menerima rawatan di Klinik Audiologi, USM khususnya komuniti setempat di mana mereka berpeluang mencuba ABP berteknologi AI dan merasai perbezaan kualiti bunyi.

“USM amat menghargai sumbangan berterusan daripada rakan-rakan industri bukan sahaja dari segi kewangan atau peralatan, tetapi peluang latihan klinikal tanpa melibatkan implikasi kewangan.

a1c76448 af11 43b3 b91f 21f0757db92c

“Sumbangan ini diharap akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak,” jelasnya lagi.

Dalam majlis yang sama turut diadakan Majlis Makan Malam Pelajar Program Audiologi PPSK bagi meraikan pelajar tahun akhir yang bakal menamatkan pengajian mereka tidak lama lagi.

Turut hadir ialah Pengurus Produk dan Latihan Swiss Medicare Group Malaysia, Tan Kia Ing; Ketua Pembangunan Pemasaran, Best Hearing Aid Centre, Davis Chuah; Pengerusi Program Audiologi USM, Profesor Madya Dr. Mohd Normani Zakaria; Ketua Klinik Audiologi, Hospital USM, Mohd Khary Hussin dan Penasihat Majlis Makan Malam Pelajar Program Audiologi, Dr. Mohd Fadzil Nor Rashid.

 

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 178