Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KORBAN BUKAN SEKADAR PENYEMBELIHAN, TETAPI PENGHAYATAN NILAI PENGORBANAN - PENGARAH KAMPUS KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 30 Mei 2026 – "Ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan ternakan, tetapi merupakan manifestasi ketaatan, keikhlasan dan kesediaan seorang hamba untuk mengorbankan sesuatu yang bernilai demi mencari keredaan Allah SWT", demikian petikan ucapan Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Shaiful Bahari Ismail semasa merasmikan Program Ibadah Korban Peringkat Kampus Kesihatan USM 2026/1447H, hari ini.

1000264750

Menurutnya, ibadah korban juga merupakan simbol ketaatan kepada Allah SWT serta penghayatan terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

1000264748

“Sebagai sebuah institusi yang mendukung misi ilmu, perkhidmatan dan kemanusiaan, semangat pengorbanan ini amat dekat dengan nilai yang kita junjung bersama.

1000264752

"Pengorbanan bukan sahaja dalam bentuk harta benda, bahkan turut merangkumi masa, tenaga, kepakaran, idea serta kesungguhan untuk berkhidmat dengan amanah dan penuh ihsan,” katanya.

1000264744

Tambah Shaiful Bahari, sebagai lambang komitmen, kesungguhan dan semangat kebersamaan warga kampus dalam menghidupkan syiar Islam, jawatankuasa program ibadah korban telah menerima penyertaan sebanyak 84 bahagian korban yang melibatkan 14 ekor lembu dan 6 ekor kambing.

1000264746

"Selain menyempurnakan ibadah korban, program ini turut menonjolkan hikmah besar amalan tersebut, iaitu mendidik kita supaya tidak melihat ibadah dalam ruang lingkup peribadi semata-mata, tetapi turut menterjemahkannya dalam bentuk manfaat, kasih sayang dan kepedulian kepada masyarakat sekeliling", jelasnya lagi.

1000264754

Shaiful Bahari turut berharap agar program ibadah korban ini dapat memperbaharui niat, menyuburkan rasa syukur dan memperkukuh hubungan sesama warga serta semangat pengorbanan yang dihayati pada hari ini akan terus diterjemahkan dalam tugas harian dan kehidupan bermasyarakat, khususnya dalam usaha membangunkan Kampus Kesihatan USM sebagai institusi ilmu, perkhidmatan dan kemanusiaan yang cemerlang serta disegani.

1000264762

1000264756

Program ibadah korban pada tahun ini turut menerima sumbangan daripada agensi luar iaitu seekor lembu daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan sumbangan berjumlah RM7,500 daripada Maybank Islamic Berhad yang turut menjadi wadah memperkukuhkan nilai kasih sayang dan tanggungjawab sosial.

1000264758

1000264760

Program ini berakhir dalam suasana penuh harmoni dan semangat gotong-royong yang mencerminkan nilai kebersamaan, keprihatinan serta ukhuwah yang terus subur dalam kalangan warga kampus dan komuniti sekitar.

1000264766

1000264764

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Perbankan Pengguna Wilayah Pahang, Kelantan, Terengganu Maybank Islamic Berhad, Sudirman Hussein; Pengurus YAPEIM Kelantan, Che Nor Azila Che Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Ibadah Korban Kampus Kesihatan USM, Dr. Mujahid Bakar dan Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Amira Abdul Sattar@Ismail.

Teks: Nik Ariff Mat Daud / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 232