Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

LANGKAH MAHABBAH JIWA MERDEKA 2026 SUNTIK SEMANGAT UKHUWAH, GAYA HIDUP SIHAT WARGA KAMPUS KESIHATAN

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 September 2026 – Program Langkah Mahabbah Jiwa Merdeka 2026 yang dianjurkan bersempena sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan Ke-69 menjadi wadah menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW, mensyukuri nikmat kemerdekaan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Program anjuran Jawatankuasa Hari Kebesaran Islam Kampus Kesihatan USM itu turut menerapkan penghayatan kempen ‘Bismillah Pembuka, 6S Penyempurna’ yang mengetengahkan enam (6) amalan utama iaitu Solat, Sedekah, Selawat, Salam, Syukur dan Senyum sebagai panduan membentuk kehidupan yang lebih baik dan harmoni.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, berkata, penghayatan terhadap nilai yang dibawa oleh Rasulullah SAW tidak seharusnya terhad kepada sambutan atau ucapan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui akhlak dan amalan dalam kehidupan seharian.

“Nilai seperti menjaga persaudaraan, saling menghormati, membantu sesama manusia, menyebarkan kebaikan dan memberikan manfaat kepada orang lain merupakan antara contoh yang boleh diamalkan oleh setiap warga kampus.

“Penghayatan 6S membawa mesej yang mudah tetapi amat penting agar nilai-nilai kebaikan sentiasa hadir dalam setiap ruang kehidupan kita, bukan hanya ketika berada dalam program seperti ini, tetapi juga di tempat kerja, di kampus, di rumah dan dalam hubungan kita sesama insan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

Beliau turut mengaitkan amalan 6S dengan aktiviti ‘brisk walk’ yang dilaksanakan, apabila peserta berpeluang mengamalkan nilai tersebut secara langsung sepanjang aktiviti berlangsung.

Katanya, amalan bersedekah tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit, malah perbuatan kecil yang memberi manfaat kepada orang lain seperti membantu membersihkan laluan atau mengutip sampah juga merupakan satu bentuk kebaikan.

“Begitu juga dengan selawat yang boleh diamalkan sepanjang perjalanan agar aktiviti yang dilalui bukan sekadar dipenuhi dengan perbualan, tetapi turut disertai dengan ingatan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Salam dan senyum pula boleh menjadi titik permulaan kepada hubungan serta ukhuwah yang baharu dalam kalangan warga kampus. Mungkin daripada satu salam dan satu senyuman yang ringkas, terjalin hubungan yang lebih bermakna,” ujarnya lagi.

Tambah Shaiful Bahari, sambutan kemerdekaan turut mengingatkan warga kampus bahawa keamanan, kestabilan dan keharmonian yang dinikmati hari ini merupakan nikmat besar yang perlu dihargai dan dipelihara bersama.

“Jiwa yang merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada sikap negatif seperti perpecahan, kebencian dan mementingkan diri sendiri yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Sebagai warga Kampus Kesihatan, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk membudayakan gaya hidup yang sihat. Aktiviti ‘brisk walk’ mungkin kelihatan sederhana, tetapi ia membawa mesej bahawa penjagaan kesihatan perlu bermula dengan amalan kecil yang dilakukan secara konsisten,” jelasnya.

Beliau juga berharap agar setiap langkah yang diatur sepanjang program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah menjadi ruang untuk mengeratkan ukhuwah, menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW serta memupuk rasa syukur terhadap nikmat keamanan dan kemerdekaan.

Program tersebut turut menyediakan ruang interaksi dalam kalangan warga kampus melalui aktiviti riadah yang santai dan ceria, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti Kampus Kesihatan USM yang lebih mesra, harmoni dan prihatin.

Program Langkah Mahabbah Jiwa Merdeka 2026 yang menghimpunkan lebih 300 peserta ini merupakan antara inisiatif yang menggabungkan elemen kerohanian, kecergasan dan semangat patriotisme dalam usaha membentuk warga kampus yang bukan sahaja sihat dari aspek fizikal, malah memiliki nilai murni dan keprihatinan terhadap komuniti serta persekitaran.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 91